MESKIPUN sering dikecam kerana bermulut ‘puaka’, selebriti terkenal Azwan Ali atau dikenali sebagai Diva AA, mengakui masih tahu batas mengenai perkara yang sensitif dan tidak patut diperkatakan di khalayak.
Menurutnya yang berkelulusan Ijazah Undang Undang dari Universiti Malaya, beliau belum pernah terpalit kontroversi yang menyentuh sensitiviti awam apatah lagi tergamak menghina agama.
“Bukannya siapa Diva AA atau Azwan Ali ini, persoalannya di sini ialah we are educated people. Bukan aku perasan ya, aku ada ijazah undang-undang daripada UM.
“Bila kita ada undang-undang kita berfikir, kita berotak. Bila kita educated kita akan bercakap cara educated.
“Sensitiviti ada beberapa perkara yang wajib memang kita tak boleh sentuh. Agama, bangsa, istana, raja-raja ni tak payahlah biadap sangatlah.
“Kalau kau biadap kau punya pasal lah, tapi Diva AA kutip itu sebagai pengajaran… ini adalah perkara yang kita tak boleh sentuh setiap masa.
“Jadi bila kau buat lawak, agama ke mana, otak kau ke mana, sesuailah kau mendapat.. Jadi akan ada kecaman demi kecaman,” katanya menyindir seorang wanita yang didakwa menghina kesucian Islam di sebuah kelab komedi di ibu negara, baru-baru ini.
Beliau berkata demikian dalam temubual bersama Malaysiapost menerusi segment Sudut Pandang, malam tadi.
Azwan mengakui, netizen sering mengecamnya ekoran lantang bersuara di samping mulutnya bagai ‘tiada insurans’ apabila menyentuh sesuatu isu.
“Walaupun sering dikecam tapi seingat Diva AA tak tersentuh isu-isu bodoh tu. I got my class. Cuma bila aku smash itu kau tak boleh terima.
“Bila kau tak boleh terima kau melapor, menganjing aku whatever viral itu sahaja. Tapi apa yang aku cakap adalah kebenaran,” katanya.
Ditanya sama ada wajar kelab komedi itu dilarang beroperasi, Azwan menegaskan, kelab yang menjalankan aktiviti seperti itu wajar ditutup buat selama-lamanya.
“Kelab ini yang kita tahu ada banyak kontroversi, dialah yang menjahanamkan, nampak sangat dia menjahanamkan, jadi tutup sahajalah.
“Bukan tutup sementara, tapi saya harap DBKL dan pihak berkuasa yang berkenaan, tutup selama-lamanya! Kasi ajar cukup-cukup!”
“Dia telah menyentuh dan menjahanamkan agama, kebetulan agama Islam yang majoriti rakyat Malaysia beragama Islam,” katanya. – Malaysiapost

