PRU15: Azwan Ali harap restu Tun M tanding atas tiket Pejuang

0
1

SELEBRITI dan pengacara, Azwan Ali berhasrat berjumpa Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menawarkan dirinya bertanding atas tiket Pejuang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Dikenali sebagai Diva AA, Azwan berkata, setakat ini peluang bertemu Presiden Pejuang itu belum tiba namun mengakui telah mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin parti itu minggu lalu.

“Sebenarnya bukan Pejuang yang melamar aku, tapi aku Diva AA yang melamar, menggelupur nak sertai Pejuang.

“Bukan Pejuang yang nak cari aku, kena betulkan. Mengapa tidak, Diva AA melihat Tun M mempunyai aura yang kuat, satu dunia tahu dia negarawan tersohor,” katanya kepada Malaysiapost dalam segmen Sudut Pandang malam tadi.

Spekulasi Azwan bakal menyertai Pejuang tercetus susulan tersebar di media sosial gambarnya bertemu beberapa pemimpin Pejuang, minggu lalu.

Mengulas lanjut, Azwan berkata, beliau tertarik untuk menyertai Pejuang kerana aura dimiliki bekas Perdana Menteri itu.

“Tun M dengarlah, bila kita cakap pasal Pejuang, kita nampak you. Pejuang is Tun M, Tun M is Pejuang.

“I need your bless Tun M, kalau Tun M menonton, Diva AA nak beritahu akan bersedia untuk sokong Pejuang, salahkah?” soalnya.

Bagaimanapun, Azwan berkata, beliau akur jika Dr Mahathir melihat dirinya tidak layak untuk menyertai parti itu sekali gus bertanding atas tiket Pejuang pada PRU15.

“Mungkin akan ada pelbagai proses sebelum mengesahkan (bertanding PRU15 atas tiket Pejuang) tapi perkataan yang penting ialah ‘bless’ Tun M.

“Kalau Tun M tengok aku tak layak ada kat Pejuang tu, aku tak boleh cakap apa. Tapi menerusi program Malaysiapost ini aku harap Tun M tengok dan nak beritahu, I hope your bless Tun M dan perjanjian yang Diva AA boleh masuk Pejuang dan bertanding PRU15,” katanya.

Azwan pernah bertanding sebagai calon Bebas pada PRU14 lalu di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa namun hanya meraih 90 undi dan hilang wang pertaruhan.

Kerusi tersebut dimenangi abangnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan majoriti 25,512 undi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here