
MUFTI Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin menggesa kerajaan untuk menggubalkan satu undang-undang untuk mengenakan hukuman berat kepada pesalah yang mendera kanak-kanak.
Beliau berkata, hukuman yang sangat keras perlu diberikan kepada mereka yang menganiaya kanak-kanak.
Katanya, individu yang berbuat demikian tidak layak untuk hidup bermasyarakat dan patut dinyahkan dari kehidupan bersosial.
“Satu undang-undang yang membabitkan satu hukuman yang ‘sangat keras’ patut digubal bagi dikenakan kepada pesalah yang mendera kanak-kanak.
“Seseorang yang menyeksa kanak-kanak bukan sahaja tidak layak untuk hidup di alam manusia, bahkan tidak layak untuk hidup di alam binatang.
“Orang seperti itu hendaklah dinyahkan dari bersosial kerana tidak layak untuk hidup dalam mana-mana masyarakat pun,” katanya menerusi Facebook.
Hari ini, media melaporkan, polis bertindak menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun daripada terus didera ibu bapa angkatnya dalam satu serbuan di sebuah Taman perumahan di Beranang, Selangor.
Serbuan itu susulan laporan polis yang diterima berhubung penularan rakaman video memaparkan kanak-kanak terbabit dipukul dan dipaksa makan.
Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, berkata pihaknya menerima laporan berkaitan kes penderaan dan mencederakan kanak-kanak itu daripada seorang lelaki berusia 20 tahun pada jam 12.14 tengah malam tadi. – Malaysiapost
