KASIH sayang antara anak dan ibu bapa adalah penting sebagai teras penting kepada institusi kekeluargaan, kata Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau menyeru agar anak-anak menghargai ibu bapa selagi mereka masih ada dan jangan sesekali ada perasaan sombong kepada mereka.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu merujuk insiden yang berlaku membabitkan seorang pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), yang rebah ketika berkawad semalam.
“Seluruh negara dapat menyaksikan peristiwa kasihnya seorang bapa kepada anak seperti dalam rakaman video yang tular di media sosial ini.
“Lebih meruntun hati apabila mengetahui ‘bapa’ yang nekad masuk ke dalam perbarisan bagi membantu ‘anaknya’ yang rebah itu bukanlah bapa kandung.
“Sebaliknya lelaki warga emas itu merupakan bapa saudaranya yang menjaganya sejak kecil selepas dia menjadi anak yatim piatu,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Menurutnya, kejadian itu adalah sebuah kisah yang nyata tentang kasih seorang insan bergelar ‘bapa’ terhadap seseorang yang dianggap sebagai ‘anak’.
“Justeru, anak-anak sekalian mengertilah dan hargailah ibu bapa kamu selagi mereka masih ada. Jangan sesekali ada perasaan sombong kepada mereka.
“Biarpun kamu kini berkedudukan tinggi dan lebih berpendidikan berbanding kedua ibu bapa, kasih mereka jauh lebih tinggi nilainya daripada apa sedang kamu miliki.
“Berbaktilah kepada mereka selagi berkesempatan kerana selepas pemergian mereka tiada apa lagi dapat kamu zahirkan melainkan doa seorang anak yang soleh,” katanya.
Malaysiapost semalam melaporkan tindakan seorang bapa menjadi benteng kepada anaknya daripada kembali rebah ketika berkawad meruntun jiwa hadirin yang menyaksikan kejadian itu.
Situasi itu berlaku di Majlis Perbarisan dan Kawalan Kehormatan Sempena Sambutan Jubli Emas Ke-50 Bahagian Penguatkuasa dan Tamat Latihan Kursus Asas Sains Penguatkuasaan, KPDNHEP di Maktab Penjara Malaysia, Kajang.
Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan pegawai yang pengsan itu adalah anak angkatnya Nik Mohamad Adhar Nik Ismadi, 22, yang kini bertugas sebagai Penguatkuasa KPDNHEP di Tawau Sabah.
“Beliau merupakan anak yatim piatu sejak sekolah lagi. Itu sebab kami ambil beliau sebagai salah seorang anak angkat kami sejak beliau di Sekolah Geting Tumpat lagi.
“Dalam gambar yang meluru kepada beliau dan memapahnya untuk bangkit kembali seraya beliau jatuh pitam seketika ketika berkawad ialah bapa saudaranya bernama Abdul Aziz Ya’acob yang memeliharanya sejak kematian kedua ibu bapa Nik Adhar,” katanya.
Menurut Asyraf Wajdi, anak angkatnya itu demam ketika berkawad sempena Hari Penguatkuasa KPDNHEP di Maktab Penjara Kajang, semalam. – Malaysiapost

