TIMBALAN Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man melahirkan kebimbangan terhadap suasana ukhuwah atau persaudaraan dalam partinya yang dilihat ada segelintir ahli seperti tidak beradab dan tidak menghormati kepimpinan parti.
Menurutnya, terdapat kenyataan kepada kepimpinan parti yang dibuat dengan tiada adab dan hikmah, seolah-olah merasakan pucuk pimpinan tidak mengetahui apa yang ahli ketahui.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, bahkan ada yang menegur pimpinan tentang bahaya musuh seolah-olah pimpinan tidak mengenali musuh.
“Wahai sahabatku, ukhuwah ini lahir dari hormat dan thiqah (percaya) kita dan di waktu yang sama adalah akhlak kita.
“Engkau tidak mungkin merasainya tanpa sifat tersebut. Lantaran itu, belajarlah untuk menghormati orang lain atau pandangan yang berbeza dengan kita.
“Engkau perlu menghormati pimpinan dan sahabatmu kerana ia adalah sebahagian darimu dalam jamaah. Ia lebih dari apa yang kamu ada di dunia ini. Pandanglah dengan mata hatimu sebelum engkau memandangnya dengan mata zahirmu,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air, mengingatkan ahli Pas bahawa apa jua kedudukan yang dicapai kini bukanlah hasil kecerdikan atau kelebihan individu melainkan ianya adalah usaha sahabat seperjuangan yang lain.
“Penat lelahmu, keringat dan air mata mereka adalah jalinan tali ukhuwah ini. Sayangilah sahabat seperjuanganmu dan jamaah ini. Bila air keruh, hentilah sementara untuk bagi masa air tenang dan jernih semula.
“Biarlah sekadar kocak-kocak air yang tidak mengeruhkan keadaan dan merosakkan ukhuwah jamaah. Kalau berlumba, wahai sahabatku, biarlah hanya ke arah menambahkan kebaikan dan saling memperkukuhkan jamaah,” katanya.
Tuan Ibrahim turut mengingatkan setiap ahli berperanan membantu parti dan kepimpinan dalam apa jua situasi serta bukan sebaliknya menyusahkan parti atau pimpinannya.
“Lantaran itu, berusahalah bagi membantu jamaah dan kepimpinannya dalam apa jua situasi samada damai atau waktu berhadapan dengan mehnah (ujian),” katanya. – Malaysiapost

