Kanak-kanak perempuan didera keluarga angkat

0
2

POLIS menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun daripada terus didera ibu bapa angkatnya dalam satu serbuan di sebuah Taman perumahan di Beranang, Selangor awal pagi tadi.

Serbuan itu susulan laporan polis yang diterima berhubung penularan rakaman video memaparkan kanak-kanak terbabit dipukul dan dipaksa makan.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, berkata pihaknya menerima laporan berkaitan kes penderaan dan mencederakan kanak-kanak itu daripada seorang lelaki berusia 20 tahun pada jam 12.14 tengah malam tadi.

Menurutnya, kejadian dikatakan berlaku pada Isnin lalu di sebuah taman perumahan di Beranang dan menurut pengadu, mangsa adalah anak angkat kepada sepasang suami isteri.

“Siasatan awal mendapati kejadian disebabkan mangsa tidak suka makan nasi dan suspek memaksa mangsa untuk telan nasi sehingga termuntah serta kanak-kanak itu juga dikatakan hyper aktif.

“Mangsa adalah kanak-kanak perempuan berusia anggaran empat tahun dan anak kepada warganegara Indonesia, dimana kelahiran mangsa tidak pernah didaftarkan dan tiada sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa telah diserahkan kepada suspek untuk dijaga sejak April lalu kerana Ibu kandungnya tidak mampu menjaganya.

“Mangsa dikatakan dipukul oleh pasamgan berkenaan menggunakan penyangkut baju, kayu penyapu dan kadang-kadang dicucuh dengan pemetik api.

“Selepas menerima laporan kejadian, Polis Kajang pada jam 2.30 pagi tadi telah bertindak menyelamatkan mangsa dan telah membuat tangkapan ke atas seorang wanita tempatan dan seorang lelaki warga Singapura di sebuah rumah di Beranang,” katanya.

Menurutnya, suspek berusia lingkungan 28 hingga 30-an itu dibenarkan ditahan reman selama tujuh hari sehingga 28 Julai ini.

“Mangsa telah dibawa ke Hospital Kajang untuk rawatan dan doktor mengesahkan mangsa mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian agar menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor K Suresh ditalian 017-4333795 untuk membantu siasatan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here