Permaisuri Johor anggun berbusana kurung Johor

0
3

PERMAISURI Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah tampil anggun dengan mengenakan pakaian tradisional Baju Kurung Johor ketika mengiringi Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar sempena lawatan rasmi ke Singapura, semalam.

Menerusi hantaran di Facebook Sultan Ibrahim, Baginda Raja Zarith Sofiah berkenan memakai Baju Kurung Johor dengan tema warna bendera Singapura yang telah ditenun kainnya oleh Yayasan Warisan Johor.

“Tuanku Raja Zarith Sofiah turut mengenakan loket khas berbentuk bunga orkid Vanda Miss Joaquim yang merupakan bunga kebangsaan Singapura, serta kerongsang yang dihadiahkan kepada Baginda oleh Sultan Johor.

“Iaitu sebuah rekaan berasaskan Diadem Diraja, bulan sabit, dan tujuh vintage style sebagai lambang kepercayaan Islam serta kedudukan Baginda selaku Permaisuri,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, menurut kenyataan itu lagi, bagi sesi lawatan kedua pada hari ini, Baju Kurung Johor baginda menampilkan tema warna bendera Johor.

“Dengan motif bunga rekaan gambir dan lada hitam Johor bersama orkid Vanda Miss Joaquim Singapura, sebagai lambang hubungan rapat antara Johor dan Singapura,” katanya.

Semalam, Sultan Ibrahim dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat Undang-Undang oleh National University of Singapore (NUS).

Majlis penganugerahan disempurnakan oleh Presiden Singapura, Halimah Yacob yang juga Canselor NUS sebagai mengiktiraf sumbangan baginda terhadap hubungan dua hala antara Johor dan Singapura. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here