Pengorbanan tidak terperi seorang ayah

0
1

TINDAKAN seorang bapa menjadi benteng kepada anaknya daripada kembali rebah ketika berkawad meruntun jiwa hadirin yang menyaksikan kejadian itu hari ini.

Situasi itu berlaku di Majlis Perbarisan dan Kawalan Kehormatan Sempena Sambutan Jubli Emas Ke-50 Bahagian Penguatkuasa dan Tamat Latihan Kursus Asas Sains Penguatkuasaan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Tahun 2022 bertempat di Maktab Penjara Malaysia, Kajang, Selangor.

Turut menyaksikan kejadian itu adalah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, yang berkongsikannya di laman Facebook.

Bapa menjadi benteng kepada anaknya daripada kembali rebah ketika berkawad meruntun jiwa hadirin yang menyaksikan kejadian itu hari ini.

“Kasihnya ayah
Berkorban nyawa
Biarlah jiwa
Akan tersiksa
Ikhlas dan rela
Asalkan bahagia,” tulisnya mengenai kejadian yang berlaku itu dan turut berkongsi gambar situasi menyentuh hati berkenaan.

Menurutnya, banyak yang tersirat di sebalik turutan gambar berkenaan.

“Ketika terkujurnya anak tatkala berkawad, kerana menahan terik mentari, berlari si ayah menerpa dari arah khemah tetamu. Sehingga terlucut selipar yang disarung, namun tidak diendahkan, asalkan beliau berada di sisi anak dalam sekelip mata.

“Yang hadir di padang kawad sempena Hari Penguatkuasa KPDNHEP di Maktab Penjara Kajang, pagi tadi menjadi saksi, betapa kasih agung seorang ayah kepada anaknya,” katanya.

Beliau berkata, hadirin yang menyaksikan kejadian itu, awalnya menyangkakan lelaki berkenaan akan mengusung anaknya keluar barisan, namun sangkaan itu ternyata meleset.

“Meskipun badan ayahnya dimamah usia, anaknya dipapah, bingkas dibantu berdiri sambil badan menjengah lebih separuh abad itu menjadi benteng daripada anaknya kembali rebah.

“Melihatkan pengorbanan tidak terperi seorang ayah, berjurai air mata hadirin membasahi pipi masing-masing. Saya tidak terkecuali.

“Kepada mereka yang masih mempunyai insan bergelar ayah – hargai, sayangi dan santunilah selagi hayatnya dikandung badan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here