POLIS sudah merakamkan keterangan Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan susulan dakwaan mengeluarkan kenyataan tidak sensitif kepada masyarakat Hindu berhubung kavadi, dalam satu wawancara, baru-baru ini.
Perkara berkenaan disahkan Ketua Polis Sentul Beh Eng Lai, yang memaklumkan kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rantau itu dirakamkan semalam.
“Polis merakam kenyataannya semalam dan akan merujuk kertas siasatan kepada timbalan pendakwa raya secepat mungkin,” katanya seperti dilaporkan FMT.
Terdahulu, Sayap Bersekutu Bersatu membuat laporan polis terhadap Mohamad pada minggu lalu yang didakwa mengeluarkan kenyataan tidak sensitif berhubung kavadi.
Ketua penerangannya, S Gobi Krishnan, berkata laporan itu dibuat kerana kegagalan Mohamad mengemukakan permohonan maaf dalam tempoh 24 jam atas kenyataan dibuat.
Dalam wawancara Mohamad dengan Asia Times, baru-baru ini, pemimpin Umno itu dikatakan merujuk kepada kavadi sebagai “beban” dalam menggambarkan kekalahan Umno pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14). – Malaysiapost

