KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CEUPACS) menafikan wujud ketidakseimbangan komposisi kaum dalam perkhidmatan awam.
Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, CUEPACS terpanggil untuk mengulas perkara yang dibangkitkan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang dilihat sebagai cubaan untuk mempolitikkan perkhidmatan awam apabila menyentuh mengenai komposisi kaum dalam saiz perkhidmatan awam ketika ini.
“Tuduhan beliau mengenai dasar berasaskan kaum dalam pengambilan dan kenaikan pangkat penjawat awam itu adalah satu tuduhan yang berat dan tidak berasas.
“Malah perkhidmatan awam selama ini tidak pernah menetapkan bangsa sebagai faktor penentu dalam mengambil atau menaikkan pangkat penjawat awam seperti yang difikirkan oleh YB Seputeh,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Adnan berkata, CUEPACS ingin menegaskan, pengambilan dan pelantikan kakitangan dilakukan berasaskan merit dan kompetensi calon tanpa membabitkan sebarang kuota seperti yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).
“SPA tidak pernah menetapkan pengambilan kakitangan perkhidmatan awam perlu menepati sebarang kuota termasuk membabitkan agama, kaum, etnik atau negeri tertentu.
“Sebaliknya, kebanyakan yang menyertai perkhidmatan awam adalah bergantung kepada kehendak, minat dan kecenderungan individu berkenaan sendiri.
“Permohonan pula adalah terbuka kepada semua bangsa dan agama. Tanpa membuat permohonan melalui SPA, bagaimana seseorang individu itu boleh menyertai perkhidmatan awam atau dilihat berminat untuk berkhidmat kepada negara dan rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Adnan menjelaskan, sambutan daripada kaum bukan Bumiputera untuk menyertai perkhidmatan awam dilihat kurang kerana mereka berpandangan gaji rendah berbanding jika bekerja di sektor swasta atau berniaga.
“Sebelum ini ramai yang tidak berminat untuk menyertai perkhidmatan awam disebabkan faktor gaji yang rendah jika dibandingkan pekerjaan dalam bidang lain.
“Kebanyakan mereka yang menyertai perkhidmatan awam terutama di sektor keselamatan dan pertahanan adalah disebabkan faktor patriotik dan cintakan negara.
“Disebabkan faktor ini jugalah penjawat awam sentiasa neutral dan tidak apolitikal dalam mencurahkan bakti kepada negara dan rakyat tanpa mengambil kira bangsa seseorang itu,” katanya.
Adnan berkata, dakwaan Teresa mengenai struktur gaji yang rendah dan kurangnya peluang untuk kemajuan kerjaya antara faktor utama menghalang bukan Bumiputera menyertai perkhidmatan awam juga sangat tidak tepat kerana ia melibatkan semua warga perkhidmatan awam ketika tanpa mengira bangsa.
“Kita tidak pernah melihat penjawat awam mengabaikan sesuatu bangsa dalam memberikan perkhidmatan bahkan penjawat awam jugalah kumpulan pertama yang berada dibarisan hadapan bagi membantu rakyat sekiranya berlaku bencana atau darurat.
“Bahkan jika dilihat rekod perkhidmatan YB Seputeh semasa berada dalam kerajaan sebelum ini pun tiada usaha daripada beliau untuk ‘menasihati’ kerajaan bagi mengangkat profesion dalam sektor perkhidmata awam ke suatu tahap yang sewajarnya.
“Bahkan ramai penjawat awam yang menerima tekanan, ugutan serta ditamatkan kontrak perkhidmatan. Malah ada rakan-rakan daripada YB Seputeh yang mendesak kerajaan mengurangkan bilangan penjawat awam sambil menyifatkan kami semua sebagai bebanan kepada kerajaan,” katanya.
Justeru, CUEPACS menasihatkan semua pihak terutama ahli politik supaya tidak menggunakan perkhidmatan awam hanya untuk kepentingan politik masing-masing.
“Sebagai penjawat awam, kami semua tetap berpegang teguh kepada konsep keneutralan dan profesionalisme serta menghormati prinsip pembahagian kuasa bagi memastikan kedaulatan undang-undang dapat dipertahan dalam menjunjung Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Terdahulu, Teresa menggesa kerajaan berusaha menjadikan perkhidmatan awam lebih seimbang dari segi kaum bagi mencerminkan semangat slogan ‘Keluarga Malaysia’.
Beliau berkata, perkhidmatan awam didominasi orang Melayu sejak pengenalan Dasar Ekonomi Baharu pada 1970, dengan beberapa orang bukan Melayu memohon untuk menyertai perkhidmatan awam.
Jelasnya, struktur gaji yang rendah dan kurangnya peluang untuk kemajuan kerjaya antara faktor utama menghalang bukan Bumiputera menyertai perkhidmatan awam. – Malaysiapost

