Ganja 300kg bernilai RM750,000 dirampas.

0
2

POLIS berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah dan merampas 300 kilogram (kg) ganja bernilai RM750,000 dan menahan dua individu dalam serbuan di Taman Impian, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, Sabtu lalu.

Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad, berkata serbuan itu dijalankan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perlis dengan kerjasama JSJN Bukit Aman dan JSJN Pulau Pinang.

Menurutnya, sindiket berkenaan dipercayai menyeludup masuk dadah berkenaan melalui jalan laut dari Thailand dan kemudian dibawa menggunakan jalan darat dari Perlis ke Pulau Pinang.

“Hasil serbuan sebanyak lebih kurang 300 kg ganja ditemui disembunyikan di kawasan rumah tersebut. Ganja dirampas
dianggarkan bernilai RM 750,000 dan dua suspek ditahan membabitkan lelaki berusia 41 tahun dan wanita berusia 37 tahun.

“Kedua-dua suspek direman tujuh hari sehingga 23 Julai ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang, hari ini.

Beliau berkata, semakan mendapati kedua-dua suspek berkenaan yang bekerja sebagai peniaga tidak mempunyai rekod jenayah lampau, manakala ujian saringan awal air kencing juga negatif dadah.

“Semakan mendapati pasangan terbabit tiada sijil nikah, namun tinggal bersama di rumah yang diserbu berkenaan. Polis turut menyita sebuah motosikal dalam serbuan itu.

“Semua harta yang disita juga akan disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta),” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here