PEMILIK sebuah restoran di Putrajaya dikenakan kompaun oleh Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kerana mengenakan caj hidangan siakap tiga rasa sehingga RM90 seekor.
Tindakan itu susulan aduan pelanggan restoran berkenaan yang mendakwa dikenakan caj sebanyak RM525 untuk tiga ekor ikan di samping makanan lain.
Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP Azman Adam, berkata atas aduan berkenaan, pihaknya mengarahkan pegawai untuk membuat pemeriksaan serta-merta dan tindakan kompaun dikenakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
“Harga yang dicatatkan dalam menu tidak lengkap iaitu bagaimana ia dicaj kepada pelanggan sama ada secara berat timbangan, mengikut jenis ikan, atau masakan yang ditawarkan.
“Pemilik restoran tersebut turut diberi masa tiga hari untuk membuat penjelasan mengenai kos untuk menghasilkan makanan yang diadukan,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia.
Akhbar berkenaan melaporkan seorang pelanggan sebuah restoran di Putrajaya terkejut apabila hidangan ikan siakap masakan tiga rasa yang dipesan dikenakan caj harga sehingga RM90 seekor.
Pelanggan yang hanya mahu dikenali sebagai Fatin memberitahu, harga berkenaan disifatkan tidak masuk akal berbanding hidangan serupa di kedai tomyam biasa ialah sekitar RM50 seekor atau lebih rendah dengan saiz hidangan sesuai dimakan empat orang.
Walaupun harga tersebut ada dicatatkan dalam menu restoran terbabit, namun pelanggan terbabit tidak menjangkakan harga dikenakan sehingga sebanyak itu kerana membuat pesanan melalui telefon secara terus untuk menempah meja lebih awal.
“Ketika membuat bayaran, juruwang mengenakan caj total berjumlah RM525 untuk tiga ekor ikan di samping makanan lain. Selepas dipersoalkan caj itu, dia menunjukkan harga itu sudah dicatatkan dalam menu.
“Bagi saya harga ini tidak munasabah kerana ia bukanlah sebuah restoran bertaraf lima bintang. Apatah lagi harga itu tidak dikira berdasarkan berat timbangan ikan tersebut, ia dikira sebagai pukul rata,” kata pelanggan terbabit.
Pada November tahun lalu, tular di media sosial nasib sekumpulan pelancong mendakwa terpaksa membayar hampir RM1,196 bagi hidangan seekor ikan siakap di salah sebuah restoran di Pulau Langkawi, – Malaysiapost
Kunjungi bahagian Resam Hidup untuk baca cerita yang terkini dan menarik

