DNB mesti komited atasi jurang capaian internet 5G luar bandar

0
2

JURANG liputan internet 5G di luar bandar perlu diberi keutamaan oleh Digital Nasioanal Berhad (DNB) bagi memberi peluang kepada semua rakyat Malaysia menikmati faedahnya.

Ketua Wanita Umno Bahagian Setiawangsa, Seriwani Sabtu, berkata capaian internet di luar bandar perlu diberi keutamaan oleh DNB meskipun kelembapan capaiannya masih dirasai di kawasan bandar.

“DNB mesti segera komited menyelesaikan masalah jurang digital luar bandar sebab inilah masalah utama rakyat kita. Tidak dinafikan juga masalah kelembapan internet sekalipun di kawasan urban pada ketika ini harus diberi perhatian oleh pihak kerajaan.

“Saya setuju bahawa projek 5G ini akan membawa banyak manfaat kepada rakyat khususnya dalam bidang ekonomi digital.

“Rakyat boleh berniaga atas talian dengan mudah dan pantas dengan adanya akses 5G ini. Dengan capaian internet yang luas dan pantas, urusan seharian kita pun akan jadi senang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru, Seriwani berharap, persetujuan yang telah dicapai antara syarikat telekomunikasi dan DNB dapat segera melaksanakan projek 5G negara setelah sekian lama kita menanti perkembangan ini.

“Atas persetujuan ini, diharap tidak ada lagi mana-mana parti politik yang hendak mempertikaikan DNB kerana projek 5G diterajui DNB ini sudah menjadi agenda negara.

“Saya berharap DNB dan TELCO akan segera memuktamadkan strategi pelaksanaan 5G ini tanpa lengah. Kita semua mendokong penuh inisiatif 5G di bawah teraju DNB demi maslahat Keluarga Malaysia,” katanya.

Seriwani juga menggesa projek 5G tidak dipolitikkan demi kebaikan rakyat dan negara.

“Jadi, saya memohon agar kesemua parti politik untuk tidak lagi mempolitikkan projek 5G ini sebaliknya memberikan sepenuh dokongan kerana matlamat akhirnya pasti membawa manfaat untuk rakyat juga.

“Saya khuatir jika parti-parti politik samada dari kerajaan mahupun pembangkang terus mempersoal dan menimbulkan persepsi negatif, projek 5G ini akan dilengahkan dan dilambatkan. Maka, hentikanlah polemik 5G yang memang membuang masa kita.

“Negara jiran kita, Singapura dan Indonesia sudah semakin maju dengan pendigitalan ekonomi menerusi projek 5G mereka. Takkan lah kita mahu terus melihat Malaysia ditinggalkan jauh hanya kerana nafsu politik semata-mata?” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here