Tidak sokong RUU: Kerajaan wajar batal MoU dengan pembangkang

0
1

KERAJAAN digesa membatalkan Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Pakatan Harapan (PH) susulan tidakan pembangkang yang sekali lagi tidak menyokong Rang Undang-Undang (RUU) dibawa kerajaan di Dewan Rakyat, semalam.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata MoU itu tidak lagi berfaedah selepas pembangkang bertindak membantah pindaan RUU Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) sehingga undi belah bahagi terpaksa dijalankan.

“Petang tadi di Dewan Rakyat sekali lagi pembangkang tidak sokong RUU yang dibawa Kerajaan. Kena belah bahagi dan undi. Mujur kerajaan menang.

“Oleh itu batalkan sahaja MOU dengan mereka. Tiada faedah MOU itu sedangkan perbincangan mengenai SOSMA telah dibuat bersama semalam (kelmarin) di Parlimen,” katanya ringkas di Facebook.

Semalam, Dewan Rakyat meluluskan pembatalan keputusan untuk tidak melanjutkan Subseksyen 4(5), Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) yang akan membolehkan polis melanjutkan tempoh penahanan individu yang ditangkap dan ditahan sehingga 28 hari.

Ia bagi membolehkan Subseksyen 4(5) terus berkuatkuasa bagi tempoh lima tahun lagi mulai dari 31 Julai 2022.

Keputusan itu dibuat selepas undi belah bahagi diadakan dengan penglibatan 15 orang pembahas, di mana 105 menyokong, sementara 83 Ahli Parlimen lagi membantah. 32 Ahli Parlimen lain pula tidak hadir ke Dewan Rakyat.

Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin berkata, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) itu merupakan suatu akta yang digubal khusus untuk mengadakan peruntukan bagi langkah-langkah khas yang berhubungan dengan kesalahan keselamatan bagi maksud mengekalkan ketenteraman awam, keselamatan dan perkara-perkara yang berkait dengannya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here