MALAYSIA digesa merangka strategi untuk mendesak China melakukan tuntutan terhadap Laut China Selatan berdasarkan perundangan maritim antarabangsa UNCLOS, seperti mana yang dilakukan oleh negara Asean lain.
Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR) Prof Azmi Hassan, berkata Malaysia perlu bijak serta memainkan peranan bagi melindungi kedaulatan negara daripada pihak asing terutamanya Amerika Syarikat (AS) dan China.
“Sebab itu Wisma Putra perlu lebih pintar dalam mencuri peluang keadaan geopolitik semasa percaturan dua kuasa besar dalam mempertahankan kedaulatan negara.
“Di samping melakar strategi bersama-sama dengan negara Asean yang berkepentingan untuk memaksa Beijing meneruskan proses di meja rundingan berkait COC (Kod Tatalaku).
“Saya yakin Malaysia di bawah kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bijak mengatur langkah dan memastikan China akur dengan rundingan tersebut serta menghentikan segala provokasi dan intimidasi terhadap negara Asean,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Azmi menjelaskan, jika Asean bersama-sama dengan China, Korea Selatan, Australia, Jepun dan New Zealand bersetuju dengan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) setelah melalui puluhan siri rundingan selama lapan tahun, maka tidak mustahil persetujuan serupa dicapai dalam COC.
“Kuala Lumpur tidak pernah lekang dari tanggungjawab mempertahan kedaulatan negara tidak kira sama ada kapal perang AS berada dalam EEZ atau nelayan China yang dilindungi kapal peronda pengawal pantai menangkap ikan dalam EEZ kita.
“Tidak dinafikan Kuala Lumpur memerlukan Beijing tetapi begitu jua sebaliknya. Dalam suasana geopolitik global di mana AS dan sekutunya cuba mengasingkan China melalui pendekatan beberapa strategi seperti AUKUS dan QUAD, tidak keterlaluan jika diandaikan Bejing sebenarnya lebih memerlukan Kuala Lumpur dan ASEAN.
“Hakikatnya adalah strategi perlu diatur dan saya menjangkakan Kuala Lumpur mampu melaksanakan perancangan tersebut,” katanya. – Malaysiapost
Kredit Foto: Facebook Saifuddin Abdullah

