RUU Antigangguan Seksual diluluskan

0
3

RANG Undang-Undang Antigangguan Seksual 2021 (AGS 2021) diluluskan sebulat suara pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

RUU itu dibacakan buat kali kedua oleh Menteri Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun,semalam dan disambung perbahasan hari ini membabitkan keseluruhan 26 Ahli Parlimen.

“Rang Undang-Undang ini penting dan berketepatan pada masanya kerana kita akan tamatkan menormalisasikan gangguan seksual.

“Rang Undang-undang ini adalah langkah pertama bagi Malaysia untuk menyediakan perlindungan (kepada mangsa gangguan seksual) terhadap gangguan seksual,” katanya dalam ucapan penggulungannya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada kumpulan hak wanita seperti kumpulan Tindakan Bersama untuk Gender (JAG), kerajaan Persekutuan dan agensi negeri dan Ahli Parlimen.

Menurutnya, kementeriannya akan menganjurkan siri jelajah di seluruh negara untuk menyedarkan rakyat Malaysia mengenai Akta Gangguan Seksual.

Pembentangan rang undang-undang gangguan seksual telah ditangguhkan beberapa kali sejak dua tahun lalu.

AGS 2021 adalah suatu akta untuk mengadakan peruntukan bagi suatu hak tebus rugi bagi mana-mana orang yang diganggu secara seksual; penubuhan Tribunal bagi Antigangguan Seksual; menggalakkan kesedaran tentang gangguan seksual dan untuk mengadakan peruntukan bagi perkara yang berhubungan dengannya.

Rina ketika membentangkan rang undang-undang itu semalam, berkata RUU itu memperuntukkan kuasa tribunal antaranya membuat suatu award termasuk perintah bagi responden mengeluarkan suatu pernyataan permohonan maaf kepada pengadu.

Tribunal juga boleh memerintah responden membayar pampasan atau ganti rugi yang tidak melebihi RM250,000 bagi apa-apa kehilangan atau kerosakan yang ditanggung oleh pengadu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here