Rafizi bentuk pasukan kendali kempen parti sepenuh masa

0
2

TIMBALAN Presiden PKR Rafizi Ramli kini sedang membentuk pasukan khas bagi mengendalikan kempen secara tersusun dan konsisten parti berkenaan dalam usaha memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Menurutnya, pasukan berkenaan akan terdiri daripada 10 orang sebagai tenaga awal membabitkan tenaga profesional yang perlu meletakkan jawatan mereka untuk mengendalikan kempen secara sepenuh masa.

Beliau berkata pembentukan pasukan itu akan menggunakan dana sumbangan orang ramai dan aktivis melalui majlis kutipan dana Ayuh Malaysia yang sedang giat diusahakan.

Katanya, dana yang dikumpul sebahagian besarnya akan digunakan untuk membiayai gaji pasukan berkenaan setiap bulan, selain dari perbelanjaan kempen yang lain seperti penyediaan trak, belanja perjalanan dan lain-lain.

“Pengalaman saya menjayakan kempen pilihan raya sehingga menang di 42 dari 44 kerusi parlimen yang kami usahakan dalam PRU-14 menunjukkan bahawa kita perlu satu pasukan professional yang dianggotai anak-anak muda menjadi tenaga tulang belakang menggerakkan kempen.

“Mereka bertanggungjawab menyusun aktiviti, melatih sukarelawan, mengamati data, menjalankan kajian dan menghasilkan kandungan digital yang sangat penting untuk kempen,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Rafizi berkata, PKR berdepan dengan ratusan orang dalam kumpulan propaganda lawan yang digaji sepenuh masa bagi menghasilkan kandungan dan melakukan kempen propaganda di media sosial.

“Sedang kita tidak memerlukan pasukan sebesar mereka, kita perlu ada tenaga profesional untuk mengendalikan kempen secara tersusun dan konsisten. Ini sumbangan kita. Ini gerakan kita,” katanya.

Beliau turut mengajak orang ramai yang ingin menyumbang menyertainya Sabtu ini di Pulau Pinang bersama Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dan pimpinan lain dalam majlis kutipan dana Ayuh Malaysia.

“Orang ramai dan aktivis telah menjayakan majlis yang serupa di Kuala Lumpur dan Johor Bahru sebelum ini. Dana yang dikumpul akan membiayai kos perjalanan kempen Ayuh Malaysia yang akan mula turun ke seluruh negara Ogos ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here