TIMBALAN Menteri Perpaduan menegaskan beliau tidak akan bertolak ansur lagi dengan mana-mana pihak atau individu yang mempermainkan, menghina dan mencela mana-mana agama dan kaum di negara ini.
Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal memaklumkan beliau adalah pemimpin kepada Melayu, Cina, India, Orang Asli serta etnik-etnik di Sabah dan Sarawak.
“Tak kira sama ada anda seorang Muslim, Hindu, Kristian, Buddha atau mana-mana agama pun, anda tetap di bawah perlindungan undang-undang.
“Tak ada dwistandard dalam perkara ini! Sekali lagi, tak ada dwistandard! Kalau ada individu Melayu yang mencela kaum lain, kita ambil tindakan, begitu juga sebaliknya,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Sehubungan itu Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ketua Armada Bersatu berkata beliau wajib memastikan perpaduan di negara ini terjaga dan sentiasa harmoni.
“Ayuh! Kita jaga keluarga Malaysia,” katanya.
Kebelakangan ini terdapat beberapa kes menghina Islam dan Melayu sehingga polis menahan beberapa individu bagi membantu siasatan.
Ia termasuk wanita yang membuka pakaian serta tudung ketika membuat persembahan di sebuah kelab komedi baru-baru ini. – Malaysiapost

