MALAYSIA mencatatkan rekod tertinggi harian Covid-19 tiga hari berturut-turut apabila 293 kes baharu dilaporkan hari ini setakat jam 12 tengah hari tadi.
Semalam, sebanyak 317 kes dilaporkan iaitu tertinggi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac, manakala sebanyak 287 dicatatkan kelmarin.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata keseluruhan kes positif Covid-19 di Malaysia kini 12,381 kes yang mana kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 1,961.
Katanya, daripada 293 kes baharu hari ini, satu adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara melibatkan bukan warganegara dari Bangladesh.
Daripada 292 kes penularan dalam negara 269 kes adalah warga Malaysia dan 23 bukan warganegara.
“Daripada 292 kes tersebut, sebanyak 30 kes pulang dari Sabah, menjadikan jumlah kes mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 September adalah 206,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 126 kes dicatatkan di Sabah iaitu 13 kes daripada Kluster Bangau-Bangau, Kluster Benteng LD (14), Kluster Kau Sing (4), kes saringan bergejala (78), kes saringan kontak rapat (12) dan kes saringan masuk kerja (2).
Selain itu, katanya, masing-masing satu kes Severe Acute Respiratory Illness (SARI), kes saringan komuniti dan kes saringan masuk wad.
“Kedah pula mencatatkan 113 kes dengan 112 daripada Kluster Tembok serta satu kes Kluster Bah Rose,” katanya.
Selangor mencatatkan 31 kes dengan 13 adalah kes saringan pulang Sabah, 13 kes daripada Kluster Jalan Meru, tiga kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Embun dan dua kes saringan kontak rapat. – Malaysiapost

