SEORANG suri rumah cedera di mulut dan bengkak di muka akibat ditumbuk suaminya kerana cemburu.
Wanita itu dalam keadaan cedera dan berlumuran darah, tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim, Kedah semalam.
Dalam kejadian jam 5.50 petang itu, wanita berusia 45 tahun terbabit didakwa dipukul dengan besi di bahagian belakang oleh suspek berusia 48 tahun itu.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim, berkata dalam kesakitan akibat serangan itu, mangsa berusaha menunggang motosikal untuk membuat laporan polis.
“Susulan dari laporan itu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kulim menahan suami mangsa di rumah mereka pada 6.40 petang untuk membantu siasatan.
“Siasatan mendapati suspek dipercayai memukul mangsa dengan tangan dan besi di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Azhar berkata, pemeriksaan lanjut di sekitar kawasan rumah itu menemui satu batang besi plat panjang untuk memukul mangsa dan dirampas untuk membantu siasatan.
Katanya, berdasarkan siasatan, mangsa mendakwa kejadian dialaminya semalam bukan kali pertama dipukul suami, sebaliknya sudah banyak kali diperlakukan sedemikian kerana cemburu.
“Suspek direman selama empat hari untuk membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan 326A Kanun Keseksaan.
“Mangsa dirawat di Hospital Kulim dan menerima enam jahitan di bibir akibat kejadian itu,” katanya. – Malaysiapost

