Dewan Rakyat kecoh, Tajuddin berang digelar seksis

0
3

[PARLIMEN] DEWAN Rakyat hari ini kecoh apabila Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) berang selepas digelar sering mengeluarkan kenyataan berunsur seksis oleh Teo Nie Ching (PH-Kulai).

Tajuddin yang mencelah ketika Datuk Seri Azalina Othman Said (BN- Pengerang) membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Anti Gangguan Seksual 2021 membuat kenyataan yang mengaitkan dirinya sebagai seksis.

“Kamu cuba untuk memperlihatkan kami (Ahli Parlimen kerajaan) mempunyai imej yang buruk. Macam kita tidak ada maruah diri,” katanya seperti dilapor MalaysiaGazette.

Tajuddin merujuk kenyataan Nie Ching yang mengaitkan dirinya bersama-sama Ahli Parlimen Baling (Datuk Seri Azeez Abdul Rahim) dan Ahli Parlimen Kinabatangan (Datuk Seri Bung Mokhtar Radin) sebagai seksis dan sering membuat kenyataan gangguan seksual terhadap Ahli Parlimen wanita.

Susulan itu, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon mengarahkan Tajuddin bertenang.

Selepas membuat kenyataan itu, RSN Rayer (PH-Jelutong) meminta Rashid mengambil tindakan terhadap Tajuddin yang didakwa menghina wanita dengan kenyataan seperti itu.

Rayer mempertikaikan tindakan Rashid yang masih bertoleransi dengan Tajuddin berbanding tindakan menghalau Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud) pada Isnin lalu.

“Timbalan Speaker kemarin Kota Belud dihalau, perangai macam ini (Tajuddin) mengapa tidak halau keluar?” soalnya.

Tajuddin kemudiannya menyelar Rayer dan mempersoalkan kenapa wakil rakyat DAP mencabar Rashid.

“Mereka tidak kenal siapa kami, bagaimana kita menjaga maruah wanita terutamanya Wanita Umno. Kamu boleh tanya mereka, yang masalah ini adalah wanita DAP. Perangai tidak senonoh mulut cabul,” katanya lagi.

Drama pertikaman lidah selama 30 minit ini bagaimanapun dileraikan oleh Rashid.

“Saya arahkan Pasir Salak agar tidak mengulangi dan saya minta Kota Samarahan untuk teruskan perbahasan beliau,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here