Pembangkang bantah lanjutkan monopoli Bernas

0
2

PEMBANGKANG membantah keputusan kerajaan melanjutkan tempoh konsesi monopoli Padiberas Nasional Berhad (Bernas) kepada 10 tahun lagi, kerana ia hanya memberi keuntungan besar kepada syarikat berkenaan dan bukannya pesawah padi.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata ini dibuktikan apabila pesawah padi hanya memperoleh pendapatan yang sangat rendah sedangkan syarikat berkenaan mengaut keuntungan tinggi setiap tahun.

“Ini bertentangan dengan prinsip sekuriti makanan dan jihad makanan (yang diperjuang) Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) sebab kita benarkan monopoli sesuatu syarikat yang untungnya sangat besar.

“Sepatutnya keperluan import itu diagihkan. Saya tidak ada masalah Bernas tolong menguruskan tetapi (perlu) diagihkan kepada persatuan-persatuan peladang atau yang boleh memberi manfaat langsung kepada pesawah padi,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Terdahulu dalam dalam Sidang Dewan Rakyat, hari ini, Anwar bertanyakan soalan tambahan kepada Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Ronald Kiandee berhubung keputusan lanjutan itu.

Ronald dalam jawapannya menegaskan keputusan kerajaan melanjutkan tempoh konsesi Bernas sebagai pengimport tunggal beras dalam negara disifatkan sebagai langkah tepat.

Menurut Anwar, pihaknya faham sistem dilaksanakan itu memberikan pulangan yang lebih kepada pemodal, namun apa yang berlaku membabitkan Bernas, boleh dikatakan ia memberi semua pulangan kepada syarikat berkenaan.

“Pesawah padi yang jumlahnya kira-kira 150,000 pesawah ini adalah kategori yang kalau di Semenanjung adalah yang paling miskin dalam negara.

“Tetapi kita ada syarikat yang mengendalikan soal import beras di antara yang paling kaya. Saya bantah keras pendirian kerajaan, Perdana Menteri dan Kabinet yang meluluskan untuk menyambung monopoli ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here