PENGARAH Komunikasi Pemuda Umno, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri menyifatkan bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah ‘gentleman’ kerana mengakui pentadbirannya meluluskan ladang durian Musang King di Gunung Inas.
Beliau berkata, komitmen itu diambil kerana kawasan berkenaan perlu dilindungi dan dibaik pulih segera tanpa mengenepikan prosedur kelulusan kerajaan dan kesan alam sekitar selain pulangan ekonomi kepada kerajaan.
“Lebih menarik, tidak pula beliau salahlah sesiapa, sama ada Menteri Besar sebelumnya atau selepas dirinya.
“Pada saya, inilah sikap bertanggungjawab dan kualiti pemimpin BN (Barisan Nasional) sebenar, tampil dengan pengakuan keputusan bersama penjelasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Syed Mohd Johan Rizal berkata, sepatutnya Datuk Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengambil iktibar selepas tragedi banjir ‘kepala air’ di Gunung Jerai.
Ini kerana, katanya, bukan hanya Gunung Inas, malah banyak lagi kawasan tinggi yang menjadi titik panas yang berisiko dilanda banjir puing di Kedah.
“Selaku Menteri Besar, Sanusi sepatutnya telah mengarahkan pemantauan ketat di lokasi-lokasi berisiko berkenaan terutamanya aspek keselamatan dan kesan alam sekitar. Namun malang, setelah memberi arahan untuk hentikan penanaman, seolah Sanusi lepas tangan?
“Sebahagian besar kawasan gondol gunung inas kembali terbiar walaupun saranan agensi, penanaman semula mesti segera dilakukan.
“Lebih menyedihkan, setelah berlakunya malapetaka ini, Sanusi mula mempolitikan tragedi Gunung Inas dengan episod mencari salah dan berlagak ‘hero’ malah kemuncaknya dengan drama airmata ‘dosa- dosa lama’ di depan rakyat terjejas! ,” ujarnya.
Sementara itu, beliau turut kecewa dengan Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang ‘tumpang sekaki’ cuba berlagak hero menunding jari pada Ahmad Bashah.
Sedangkan, ujarnya, ketika menjadi Menteri Besar Kedah, Muhkriz boleh sahaja menghentikan ladang Musang King di Gunung Inas jika dilaporkan bakal membawa bencana
“Namun memilih untuk meneruskan projek durian ini dan Ironinya, beliau tambah lagi kawasan baru untuk dijadikan Ladang Musang King. Mujurlah beliau tidak merintis pula Ladang Ketum dan ‘Hemp’ di Gunung Inas!,” katanya. – Malaysiapost

