Menteri Dalam Negeri yang penuh muslihat – Razlan Rafii

0
1
KUALA LUMPUR, 27 Okt -- Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Mohd Razlan Rafii ketika keluar selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO di Menara Dato Onn hari ini. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Mohd Razlan Rafii, mendakwa Kementerian Dalam Negeri (KDN) dipergunakan oleh kepimpinan Bersatu untuk tujuan politik dan perkara itu dilihat dalam beberapa keputusan dibuat kementerian berkenaan.

Beliau mendakwa menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin lebih cenderung bermain politik dari menjalankan tanggungjawab hakiki.

Menurutnya, pada bulan ini sahaja ada dua keputusan dibuat menteri berkenaan yang tidak bijak, malah mengundang malu kepada negara.

Katanya, perkara pertama adalah membabitkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) berhubung banyak kes-kes pendaftaran yang terpaksa dibawa ke mahkamah untuk mencari penyelesaian.

“Hal ini tidak berlaku sebelum ini, banyak parti-parti yang berurusan dengan ROS sebelum ini tiada halangan untuk mendapatkan kelulusan malah ada banyak parti yang tumbuh bagai cendawan tiada masalah.

“Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) terpaksa menggunakan mahkamah untuk membuat keputusan untuk pihak KDN.

“Prosedur operasi standard (SOP) yang sudah tersedia, tatacara kerja yang sekian lama berada di ROS sepatutnya tiada masalah, sudah pasti ada udang disebalik batu berkenaan tindakan kelewatan ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, Umno juga berdepan masalah tahun lalu hanya disebabkan ROS mengeluarkan dua keputusan yang berbeza.

“Adakah ianya ada niat lain? Perlukah sebuah parti politik sebesar Umno ini harus bergantung dengan keadaan KDN yang jelas mahu bermain politik?” soalnya.

Beliau berkata, walaupun tarikh tamat 16 Julai lalu untuk ROS memberi jawapan kepada permohonan Umno meminda perlembagaan bagi membolehkan pemilihan parti ditangguhkan, ia juga tidak dipedulikan KDN.

Mohd Razlan berkata, satu lagi perkara memalukan membabitkan KDN adalah mengenai visa pekerja Indonesia apabila negara jiran itu membatalkan penghantaran pekerja ke Malaysia.

“Cakap-cakap di luar menjurus kepada sikap Menteri KDN yang tidak menguruskan perkara antara kerajaan dan kerajaan dengan baik.

“Dikhabarkan KDN memaksa Indonesia menggunakan sistem yang dibina KDN untuk mewajibkan semua pekerja Indonesia yang mahu bekerja di Malaysia. Ini telah melanggar perjanjian kerjasama di antara Indonesia dan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, akhirnya Malaysia terpaksa tunduk untuk mengekalkan kepada sistem yang dipersetujui sebelum ini, sekaligus menunjukkan memberi imej buruk kepada negara dalam aspek membuat keputusan.

Menurutnya, ada banyak peristiwa lain yang terjadi semasa Hamzah menjadi Menteri Dalam Negeri, seperti isu pelantikan Ketua Polis Negara dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau Sosma digagalkan pembangkang di dalam Parlimen.

“Peristiwa-peristiwa ini semua terjadi bukan disegajakan, ianya dilakukan dengan cukup licik untuk melemahkan lawan politik Bersatu.

“Selagi Bersatu tidak mendapat kekuatan, selagi itu mereka akan bermuslihat untuk menghancurkan sesiapa sahaja yang berlawan dengan mereka,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here