PM yakin kontinjen negara mampu atasi pencapaian di Gold Coast 2018

0
2

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob yakin kontinjen negara mampu mencipta kejayaan cemerlang pada Sukan Komanwel Birmingham 2022, sekali gus mengatasi pencapaian tujuh pingat emas yang diraih pada temasya empat tahun lalu.

Justeru, Perdana Menteri berkata atlet negara ke Birmingham harus membuktikan keupayaan dan berjuang habis-habisan bagi menterjemah kejayaan yang bakal menjadi kebanggaan diri dan Keluarga Malaysia.

“Kalah menang sebenarnya adat pertandingan tetapi tunjukkanlah kepada dunia semangat perjuangan anak Malaysia. Semangat Harimau Malaya yang sebenar-benarnya.

“Saya yakin dan percaya, atlet akan memberi yang terbaik dan memperlihatkan aksi maksimum apabila menyarungi jersi Harimau Malaysia di pentas Komanwel nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Malaysia ke Sukan Komanwel Ke-22 di ibu negara hari ini.

Sebelum ini, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menyasarkan tujuh emas menerusi badminton (dua) manakala gimrama, boling padang, angkat berat dan skuasy serta powerlifting masing-masing satu emas pada temasya yang akan berlangsung dari 28 Julai hingga 8 Ogos itu.

Bagaimanapun sasaran pingat berubah susulan penarikan diri jaguh perseorangan badminton negara, Lee Zii Jia dan atlet skuasy wanita negara, S Sivasangari yang tidak dapat beraksi kerana terlibat dalam kemalangan.

Pada temasya di Gold Coast 2018, Malaysia meraih tujuh emas menerusi sukan angkat, terjun, boling padang, gimnastik dan badminton.

Berucap lanjut, Ismail Sabri berkata sukan adalah sebahagian agenda nasional yang mampu menyemarak semangat patriotisme dan perpaduan rakyat serta wadah untuk membentuk kebersamaan Keluarga Malaysia.

Sehubungan itu beliau meminta rakyat menjadikan sukan sebagai jambatan dan instrumen untuk bersatu-padu serta semarakkan nilai-nilai tersebut untuk menjadikan Malaysia kekal sebagai negara yang aman dan damai.

“Saya ingin berpesan, pemergian anda ke Birmingham bukan sekadar mewakili diri sendiri, (sebaliknya) mewakili seluruh rakyat, wakili Negara Malaysia.

“Ini adalah perjuangan untuk Malaysia, harumkan nama Malaysia di Birmingham. Berjuanglah sebaik-baiknya kerana anda mampu mengharumkan nama negara dan pastikan lagu Negaraku berkumandang di bumi England.

“Saya yakin lagu Negaraku akan berkumandang dan Jalur Gemilang akan dikibarkan,” katanya lagi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here