Waspada skim penipuan pelaburan

0
1

JABATAN Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) mengesan kewujudan dua skim penipuan pelaburan yang sedang aktif membabitkan mangsa dari seluruh Malaysia dikenali sebagai ‘Pelaburan BTC Financial Trading/Finance Trader’ dan ‘Pelaburan Smart Trader Best Exchange’.

Setiausaha Polis Malaysia Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, berkata sebanyak 22 kertas siasatan telah dibuka membabitkan skim Pelaburan BTC Financial Trading/Finance Trader setakat semalam dengan jumlah kerugian RM708,400.

Menurutnya, bagi skim Pelaburan Smart Trader Best Exchange pula sejumlah 48 kertas siasatan telah dibuka membabitkan kerugian keseluruhan sebanyak RM661,672.

“Berdasarkan siasatan, kedua-dua skim pelaburan itu menggunakan aplikasi Telegram dan WhatsApp untuk mencari mangsa.

“Pelaburan yang ditawarkan menjanjikan pulangan sekitar 50 peratus hingga 100 peratus dalam tempoh tiga hingga enam ejam setelah pelaburan dibuat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang berminat akan diminta untuk membuat pendaftaran melalui pautan yang diberikan seterusnya membuat pindahan wang ke dalam akaun yang diberikan oleh pihak sindiket.

“Mangsa kemudiannya akan dimaklumkan telah mendapat keuntungan namun dikenakan pelbagai syarat tambahan sekiranya ingin membuat pengeluaran.

“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Menurutnya, dalam usaha membanteras kegiatan penipuan pelaburan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan orang ramai untuk sentiasa berwaspada dan melaksanakan semakan lebih terperinci sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan terutama yang menjanjikan keuntungan terlalu lumayan.

“Maklumat lanjut mengenai tawaran pelaburan boleh diperoleh dari sumber-sumber rasmi seperti Semak Mule, Alert List Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sebelum membuat keputusan untuk menyertai apa just skim pelaburan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here