Tindakan tegas atasi jenayah arak dan judi – Idris Ahmad

0
2

JABATAN Perdana Menteri Hal Ehwal Agama tidak akan berkompromi terhadap kejadian yang menghina kesucian agama Islam dan tindakan tegas akan terus diambil, tegas Menterinya Datuk Idris Ahmad.

Beliau yakin masyarakat juga mahu tindakan tegas diambil kepada pihak-pihak yang berkaitan yang melakukan kesalahan berkenaan.

Menurutnya, dua isu yang sering diperkatakan adalah membabitkan jenayah arak dan judi yang sangat membimbangkan serta merisaukan masyarakat.

Beliau berkata, topik “Jenayah arak dan judi daripada perspektif perundangan syariah dan sivil” yang dibicarakan hari ini pada seminar sempena Kempen Pencegahan Jenayah Syariah Tahun 2022 adalah relevan dengan keadaan semasa di Malaysia.

“Topik yang dibicarakan pada seminar pada hari ini sangat dekat dan relevan dengan keadaan semasa di negara kita, manakan tidak kita sentiasa melihat di dada akhbar berkenaan dua isu tersebut dan ianya sangat membimbangkan dan merisaukan kita semua.

“Dengan pemilihan kedua-dua topik ini, saya yakin persidangan dan kempen ini akan lebih terarah dan berfokus,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berkongsi mengenai Majlis Perasmian Kempen Pencegahan Jenayah Syariah Tahun 2022 anjuran Bahagian Penyelarasan Penguatkuasaan dan Pendakwaan Syariah Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) yang bermula hari ini hingga 22 Julai 2022.

Menurutnya, pengharaman arak dan judi jelas di dinyatakan dalam al-Quran dan agama, serta sudah banyak laporan dan berita berkaitan keruntuhan institusi keluarga akibat arak dan judi.

“Semua lapisan masyarakat perlu berperanan mencegah dan membanteras jenayah arak dan judi ini daripada terus menjadi barah dalam masyarakat.

“Semoga Kempen Pencegahan Jenayah Syariah 2022 dapat diperluas ke negeri-negeri lain agar masyarakat lebih faham dalam mematuhi syariat dan menjauhi maksiat,” katanya.

Idris turut mengucapkan tahniah kepada JAKIM dan semua pihak yang bersama-sama menjayakan program berkenaan yang bermanfaat kepada masyarakat dan negara. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here