Dewan Rakyat kecoh, usul tuntutan Sulu terhadap Sabah ditolak

0
2

DEWAN Rakyat kecoh lebih setengah jam selepas Ahli Parlimen pembangkang tidak berpuas hati usul berhubung tuntutan waris Sultan Sulu ke atas Sabah ditolak tiga kali oleh Yang Dipertua, Tan Sri Azhar Azizan Harun.

Kekecohan bermula apabila Ahli Parlimen Kota Belud (Warisan), Isnaraissah Munirah Majilis@Fakharudy, membangkitkan Peraturan Mesyuarat 18(1) selepas sesi Pertanyaan Jawab Lisan tamat dan menyatakan rasa kecewa mengenai penolakan usul berkenaan buat kali ketiga.

Beliau berkata, usul itu adalah mengenai kedaulatan negara dan bukan soal remeh yang boleh diketepikan.

“Saya ingin bertanya kerajaan, sampai tahap apa bahas ini dibolehkan dalam Dewan ini? Pasal Sabahkah kamu tidak peduli, sebab Sulu tuntut Sabah saja, bukan negeri lain.

“Saya mohon semua Ahli Parlimen Sabah dan Ahli Parlimen lain untuk berdiri, mohon supaya usul ini dibincangkan dalam Dewan ini,” katanya.

Kenyataan Isnaraissah mendapat sokongan beberapa Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH), termasuk Datuk Seri Salahuddin Ayub (PH-Pulai), Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) dan R Sivarasa (PH-Sungai Buloh).

Salahuddin berkata, subjudis tidak boleh dijadikan alasan untuk menolak usul berkenaan kerana isu itu ketika ini mendapat liputan media meluas di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Ramkarpal pula berkata, banyak persoalan perlu dijawab kerajaan, antaranya mengapa arahan penangguhan bagi keputusan timbang tara yang memihak kepada waris Sultan Sulu diberikan terlalu lewat dan adakah ia sedang berkuatkuasa.

“Sebab itu kita mahu usul ini didengar segera. Saya harap tuan Speaker pertimbangkan semula keputusan,” katanya.

Azhar pula menjelaskan, pada sesi sebelum ini, beliau pernah mengizinkan satu usul tergempar mengenai pelupusan aset Petronas yang dirampas Sulu di Azerbaijan dibincang dan sudah mendapat penerangan panjang lebar daripada menteri bertanggungjawab iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamad.

“Saya menerima pandangan undang-undang yang ia sememangnya subjudis kerana terdapat satu atau dua prosiding yang masih lagi berjalan. Peraturan mesyuarat amat terang dalam perkara ini dan saya mesti memakainya,” katanya.

Bagaimanapun, jawapan itu tidak memuaskan hati Isnaraissah dan Ahli Parlimen pembangkang yang lain, menyebabkan bacaan kedua Rang Undang-Undang (RUU) Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 oleh Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan terganggu.

Kekecohan terus berlaku sehingga Timbalan Yang Dipertua, Datuk Mohd Rashid Hasnon mengambil alih tugas mempengerusikan mesyuarat.

Mohd Rashid mengarahkan Isnaraissah untuk duduk, namun Ahli Parlimen itu enggan dan terus mendesak supaya usul tersebut diterima, menyebabkan Mohd Rashid mengarahkan beliau keluar Dewan dan digantung daripada menghadiri mesyuarat selama dua hari.

Tindakan itu membawa lebih kekecohan apabila Ahli Parlimen pembangkang terus mengkritik keputusan itu dan membuat halangan di sekeliling Isnaraissah dengan mendesak Mohd Rashid menarik semula keputusan menggantung Ahli Parlimen Kota Belud itu.

Malah, Ahli Parlimen Pembangkang turut membuat benteng halangan sebagai tanda solidariti bersama Isnaraissah supaya perkara itu dibahaskan.

Mohd Rashid juga memaklumkan, rayuan bertulis boleh dikemukakan di bawah Peraturan Mesyuarat 43 selepas usul itu ditolak, namun Isnaraissah berkata, ia bukan jaminan untuk usul itu diterima dan meminta tarikh supaya usul itu dapat dibawa ke dewan.

Mohd Rashid kemudian menarik balik keputusan menggantung Isnaraissah dengan syarat beliau mengikut peraturan ditetapkan. – Malaysiapost

Kredit Foto: Twitter Fahmi Fadzil

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here