Pengganas LTTE dianggap pejuang, Mat Kilau pula dipertikai – Mufti Perlis

0
2
https://www.facebook.com/DrMAZA/photos

PENGGANAS Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dianggap pejuang dan sokong habis-habisan, Mat Kilau pula dipertikaikan.

Demikian kata Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, dipercayai ditujukan kepada Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy berhubung kenyataannya yang mempertikaikan perjuangan Mat Kilau, baru-baru ini.

Menurut Dr Mohd Asri, apapun kategori ‘Mat Kilau’, dia seorang anak watan yang bangkit menentang penjajah yang masuk ke tanah airnya.

“Dia bukan seorang yang datang ke tanah orang lalu dilayan dengan baik tapi tak tahu menghormati tuan tanah lagi tak mengenang budi.

“Perlu diketahui, kadangkala ada beza antara yang menentang penjajah dengan yang datang bersama penjajah.

“Dalam Islam, kita memang disuruh menghormati tetamu, dalam masa yang sama tetamu juga disuruh beradab bila berada di rumah orang,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Pada 12 Julai lalu, media melaporkan Ramasamy menerusi kenyataan meragui sama ada Mat Kilau boleh dianggap sebagai seorang nasionalis yang memperjuangkan bangsa atau agamanya.

Beliau sebaliknya menyifatkan Mat Kilau hanya pemimpin petani bersama pengikutnya berkonfrontasi dengan British dalam usaha mengembalikan dasar ekonomi yang bermoral.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Asri menasihati Ramasamy menerusi ayat ini: “Nasihat dalam kata hikmah Orang Melayu: Orang berbudi, kita berbahasa. Orang memberi, kita merasa”.

“Jika saling memahami dan menghormati, hidup kita akan harmoni,” katanya. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook Dr MAZA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here