LIM Kit Siang menegaskan bersedia untuk bekerjasama dengan Datuk Seri Najib Razak demi kebaikan negara jika bekas Perdana Menteri itu mengecam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Menurut veteran DAP itu, Najib juga perlu mengumumkan pendiriannya untuk memastikan Malaysia tidak menjadi sebuah kleptokrasi.
“Adakah Najib bersedia untuk berbuat sedemikian?” katanya dalam ucapan kepada para penyokong di sebuah dialog di Teater Impian, Kuala Lumpur, semalam.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, dalam enam dekad kehidupan politiknya, beliau berpandangan personaliti seseorang itu tidak boleh dilihat sebagai suatu perkara yang sama ada hitam atau putih, sebaliknya dilihat sebagai pelbagai tona kelabu.
“Tidak ada malaikat dalam kalangan manusia, tetapi salah juga untuk melihat sesiapa sekali pun sebagai sumber segala kejahatan.
“Semua orang mempunyai naluri baik dan jahat, dan kita menilai seseorang itu berdasarkan sama ada naluri baiknya mampu mengatasi naluri jahatnya. Semua orang mampu untuk berubah menjadi lebih baik,” katanya. – Malaysiapost

