PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, diminta menjelaskan sama ada mengetahui mengenai pertemuan Jabatan Peguam Negara (AGC) dengan wakil ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.
Pengerusi DAP Lim Guan Eng, berkata Ismail Sabri perlu berterus-terang sama ada beliau meluluskan keputusan Peguam Negara dalam membenarkan AGC dan agensi kerajaan yang tidak diketahui bertemu wakil Jho Low.
Ahli Parlimen Bagan itu berkata, beliau difahamkan kementerian-kementerian penting yang berkaitan tidak dimaklumkan berkenaan mesyuarat berkenaan.
Menurutnya, keadaan itu membawa kepada persoalan yang membimbangkan sama ada keputusan untuk bertemu wakil Jho Low dilakukan secara persendirian dan sembarangan oleh Idrus.
“Jika Ismail tidak mengetahui perkara ini, bolehkah Idrus bertindak secara bebas tanpa pengetahuan kerajaan dalam perkara dasar yang begitu penting?
“Jika Ismail sedar dan memberi persetujuan kepada Idrus dalam membenarkan pertemuan dengan wakil Jho Low, adakah Ismail mempunyai kuasa untuk berbuat demikian tanpa kelulusan Kabinet, memandangkan kementerian-kementerian penting dibiarkan tanpa dimaklumkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Guan Eng berkata, Perdana Menteri harus menjelaskan keadaan yang bercelaru itu untuk mengelakkan spekulasi liar yang hanya akan menjejaskan tindakan berterusan bukan sahaja terhadap mereka yang bertanggungjawab dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tetapi juga pemulihan aset kewangannya.
“Daripada cuba menangkap Jho Low kerana dia terikat secara undang-undang dan dikehendaki berbuat demikian, Idrus telah memilih untuk membenarkan AGC bertemu wakil Jho Low.
“Adakah AGC menyampaikan kepada wakil Jho Low bahawa kerajaan Malaysia menasihatkan Jho Low supaya menyerahkan diri kepada pihak berkuasa Malaysia?” soalnya.
Beliau turut menggesa Idus untuk memberikan penjelasan penuh tentang urusan yang disifatkannya sebagai memalukan itu dan tegasnya, jika gagal Idrus tidak layak untuk menjadi Peguam Negara. – Malaysiapost
Sebelum ini dilaporkan bahawa Jho Low telah menawarkan kerajaan RM1.5 bilion sebagai penyelesaian bagi pertuduhan mahkamah dikenakan terhadapnya namun semua tawaran ditolak oleh AGC.
Cadangan itu dikatakan akan dirundingkan dengan Putrajaya oleh bekas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang mewakili Low dalam rundingan itu. – Malaysiapost

