TINDAKAN Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) yang melambat-lambatkan memberi jawapan berhubung permohonan Umno meminda perlembagaan parti bagi menangguhkan pemilihan parti itu, dilihat sebagai sabotaj pihak tertentu yang ingin memecah belahkan Umno.
Datuk Mohd Zaid Ibrahim, berpendapat adalah mustahil ROS sebagai jabatan kerajaan sengaja bertindak sedemikian melainkan adanya unsur sabotaj.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, berkata pegawai kerajaan pada umumnya termasuklah ROS mempunyai integriti dan ada kemampuan untuk membuat keputusan yang mudah seperti yang membabitkan permohonan Umno berkenaan.
“Saya tidak percaya ROS sengaja menyusahkan Umno. Apa untungnya?
“Jadi sudah tentu karenah atau masalah yang dihadapi Umno sekarang ini..melambat-lambatkan dengan minta banyak penjelasan lagi, minta dokumen lagi..ini semua adalah untuk sabotaj Umno..untuk Umno berpecah,” katanya dalam satu rakaman video dimuat naik di laman Facebooknya, hari ini.
Beliau berpendapat, usaha memecah belahkan Umno yang dilakukan pihak tertentu itu sudah berjaya, kerana kebanyakan ahli akar umbinya sudah mula bosan dengan kepimpinan parti sekarang ini yang dilihat tidak dapat membuat keputusan yang tegas.
“Saya percaya orang Umno tahu, pengkhianatan, pembelotan ini..siapa yang sebenarnya menyusahkan Umno ini..mereka tahu.
“Jangan ingat orang bawah tak faham politik. Yang mereka ingin daripada kepimpinan Umno adalah keputusan dan ketegasan. Apa yang perlu dilakukan jika parti diancam,” katanya.
Mohd Zaid berkata, keadaan ini berlaku kerana ramai yang mahu melihat Umno berpecah dan is cara yang paling berkesan untuk mereka menang pilihan raya.
*Mereka yang ingin merosakkan Umno sekarang ini bukan sahaja dari luar, tetapi dari dalam juga. Sebab mereka juga mahu mengambil alih kepimpinan Umno.
“Jadi ringkas cerita, saya harap ahli-ahli Umno di bawah sana bersuara..hantarlah pesanan mereka secara jelas kepada pucuk pimpinan. Hantarlah..sampaikanlah hasrat mereka, ketidakpuasan hati mereka kepada pucuk pimpinan.
“Saya harap pucuk pimpinan Umno, dengarlah..usah takut untuk membuat keputusan, buatlah apa yang patut untuk menjaga maruah parti dan menjaga kestabilan parti,” katanya.
Beliau berkata, langkah itu perlu dilakukan kerana Umno tidak boleh bertempur dengan musuh di pilihan raya dalam keadaan tidak menentu.
“Umno hanya boleh menang pilihan raya jika bersatu dan kuat. Untuk kuat kena ketepikan, buang mereka yang menyeleweng, yang tidak membantu Umno dalam pilihan raya,” katanya. – Malaysiapost
Kredit Foto: Facebook Zaid Ibrahim

