Kerajaan naikkan peruntukan subsidi lebih RM77 bilion tangani kenaikan harga barang

0
3

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan subsidi minyak botol yang diberhentikan akhir Jun lalu, diberikan bermula Ogos 2021 bertujuan mengurangkan beban rakyat ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Perdana Menteri berkata, awalnya subsidi tersebut hanya sehingga Disember 2021 kerana kerajan telah berjanji untuk membuka semula aktiviti ekonomi secara berperingkat dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Namun, kerajaan amat prihatin dengan perkembangan trend minyak sawit mentah atau CPO yang naik secara konsisten disebabkan permintaan dunia yang telah mula membuka aktiviti ekonomi.

“Atas sebab ini, kerajaan telah melanjutkan pelaksanaannya sehingga Jun 2022 dengan jumlah keseluruhan peruntukan RM382 juta bagi melaksanakan program subsidi minyak botol ini.

“Isu kerajaan tidak membantu rakyat tidak seharusnya timbul kerana subsidi minyak masak polibeg 1 kilogram (kg) masih lagi diberi, malah ditambah,” katanya pada sidang Parlimen, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) berkenaan langkah diambil kerajaan untuk menangani kenaikan kos sara hidup dan memastikan kestabilan harga barangan supaya kekal pada harga mampu milik kepada rakyat.

Ismail Sabri berkata, kerajaan juga dijangka membelanjakan subsidi minyak masak polibeg 1 kg dengan peruntukan sehingga RM4 bilion pada tahun ini.

“Jumlah ini naik mendadak berbanding keperluan pada tahun 2020 iaitu RM500 juta dan 2021 sebanyak RM2.1 bilion,” ujarnya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata kerajaan juga meningkatkan peruntukan subsidi kepada lebih RM77 bilion berbanding peruntukan asal sebanyak RM31 bilion bagi tahun 2020.

Katanya, daripada jumlah itu, RM1.1 bilion diperuntukkan kepada subsidi ayam dan telur.

Menurut beliau, tindakan kerajaan memberi subsidi ayam itu menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk membantu rakyat kerana ia pertama kali subsidi ayam diberikan bagi memastikan bekalan ayam pulih.

“Sekarang kita melihat hasilnya di mana harga telah mula stabil. Melalui cerapan data harga mingguan kerajaan mendapati kesan positif kerana harga sebenarnya berada di bawah harga kawalan RM9.40 bagi Semenanjung Malaysia. Harga purata nasional mingguan sehingga 9 Julai 2022 adalah RM9.22 dan negeri Pahang merekodkan harga terendah iaitu sebanyak RM8.95.

“Hasilnya, kini pengguna telah mula mendapat manfaat manakala penternak dan peniaga ayam juga berpuas hati kerana mereka sudah boleh berniaga seperti biasa,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here