Jumlah RM787 juta termasuk kos tinggikan platform Stadium Shah Alam – MB Selangor

0
2

MENTERI Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menjelaskan kos RM787 juta bagi pembinaan Stadium Shah Alam (SSA) yang baharu termasuk kos meninggikan platform stadium sehingga 1.5 meter (m) bagi mengelak kejadian banjir berulang.

Beliau berkata, ia termasuk kos keseluruhan bagi menukar sistem pendawaian elektrik; menukar keseluruhan struktur bumbung dan meruntuhkan struktur bumbung sedia ada; kos pembaikan padang; serta membaiki sistem perpaipan.

Katanya, jumlah yang dinyatakan itu turut melibatkan Stadium Tertutup Melawati yang berada di kawasan sama.

“Polemik isu Stadium Shah Alam (SSA) bukanlah baru bagi saya. Semasa saya menjawat EXCO Pembangunan Belia dan Sukan di mana saya pengurus pasukan bola sepak Selangor, saya telah melihat sendiri keadaan daif SSA.

“Isu dan keadaan SSA amat dekat di hati saya, tambahan pula kenangan dan memori memenangi Piala Malaysia terakhir bersama pasukan Merah Kuning di SSA.

“Saya memahami keluhan serta kekecewaan peminat serta rakyat Selangor dengan keadaan SSA ketika ini. Banjir besar pada 2006, 2015 dan 2021 telah mengakibatkan kerosakan kepada SSA,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Amirudin berkata, sejak lapan tahun lalu kerajaan negeri membelanjakan RM56 juta bagi membaiki dan membaik pulih SSA antaranya bumbung, bilik persalinan, sistem pendawaian elektrik serta sistem saliran air.

Tambahnya, disebabkan saiz SSA yang besar serta kebanyakan bahan gantian mahal, kos menyelenggara tersebut semakin meningkat.

“Dijangka kos keseluruhan bagi membaik pulih dan menaik taraf kesemua fasiliti mencecah RM 787 juta. Ini berdasarkan laporan serta kajian terperinci yang terbaru pada tahun lalu.

“Ramai beranggapan bahawa kos RM 787 juta ini adalah kos membina stadium yang baru. Ini tidak benar. Ada juga mempersoal kenapa jumlah terlalu besar untuk membaikpulih keseluruhan stadium,” katanya.

Dalam masa sama, katanya, setelah meneliti kesemua cadangan dan kertas kerja yang diterima sejak 2013, kerajaan negeri mengambil keputusan untuk melaksanakan pembangunan baharu Kompleks Sukan Shah Alam.

Katanya, ia turut mengambil kira kos membaik pulih yang terlalu tinggi serta kekangan yang dihadapi.

“Pembangunan baru ini tidak melibatkan sebarang dana kerajaan negeri, akan menumpukan kepada teknologi hijau dan mesra alam serta memberi wajah baru kepada SSA.

“Ini era baharu dan detik bersejarah buat seluruh rakyat Selangor,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here