Rozali bakal tubuh parti baharu, bertanding di Kuala Selangor

0
2

TOKOH korporat Tan Sri Rozali Ismail menyuarakan hasrat untuk bertanding kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kuala Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang akan datang.

Beliau memaklumkan akan bertanding atas tiket Parti Keluarga Felda SeMalaysia (PKFM) yang bakal ditubuhkan tidak lama lagi atau sebagai calon bebas.

Rozali, 64, berkata objektif utama menyertai kancah politik negara kerana mahu membela nasib dan mengangkat suara peneroka terutama masyarakat Felda di negara ini.

“Sebagai contoh, kawasan Kuala Selangor sebahagiannya wujud dari Felda Bukit Cherakah dan saya sendiri memajukan Bandar Puncak Alam ini atas tanah Felda itu sejak 15 tahun lalu.

“Justeru, jika diizinkan Allah saya akan bertanding sama ada di DUN atau Parlimen daerah ini pada pilihan raya nanti,” katanya selepas merasmikan Karnival Sukan Antara Fasa Bandar Puncak Alam (SUKAF) 2022 di Masjid Bandar Puncak Alam, hari ini.

Rozali yang juga Presiden Gabungan Wawasan Ge­nerasi Felda (GWGF) menjelaskan, pihaknya dijangka menghantar borang pendaftaran PKFM kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) bulan depan.

Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga Holdings Bhd itu berkata, pihaknya terkilan kerana tiada wakil belia peneroka di Dewan Negara sedangkan Felda menyumbang pendapatan besar kepada negara.

“Keadaan itu menunjukkan bahawa kerajaan tidak menghargai jasa dan pengorbanan peneroka selepas lebih 60 tahun membangunkan industri sawit dan pengeksport terbesar di dunia.

“Ia menjadi antara faktor utama penubuhan PKFM yang turut bakal disertai peneroka berkelayakan dan berjaya dalam pelbagai bidang seperti tokoh korporat, pegawai bank, doktor dan jurutera,” katanya.

Rozali menambah, PKFM yang bernaung di bawah GWGF menyasarkan bertanding sekurang-kurangnya 43 kerusi Parlimen di rancangan Felda seluruh negara pada PRU-15. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here