Rafizi minta ahli PKR lapor polis setiap kali Najib racun pemikiran rakyat

0
1

TIMBALAN Presiden PKR Rafizi Ramli meminta semua perwakilan parti itu di seluruh negara membuat laporan polis terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berikutan didakwa memainkan isu perkauman dan meracuni pemikiran rakyat.

Rafizi yang baharu memenangi jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan parti itu menetapkan tugas utama kepada perwakilan parti itu ketika ini memberi tekanan kepada Najib yang sering mempengaruhi rakyat menerusi pelbagai kenyataan di media sosial.

“Dari saat ini, kita sudah tak banyak masa. Ada banyak tugas berat untuk dipikul dan yang pertama (adalah) sanggah Umno.

“Kita tidak boleh biarkan Najib bermaharajelela dan sebab tugas pertama semua sejurus balik dari kongres ini sanggah propaganda Najib hingga hantar dia ke penjara.

“Jangan duduk diam, buat laporan polis sebab saya tahu Najib seorang penakut. Selasa ini saya minta pimpinan semua peringkat untuk sama-sama buat laporan kepada polis di seluruh negara. Kita tak boleh biar dia (Najib) main isu perkauman, meracuni rakyat,” katanya.

Bekas Ahli Parlimen Pandan itu berkata demikian ketika berucap pada sesi penggulungan sempena Kongres Nasional PKR ke-16, di Shah Alam, hari ini.

Pada masa sama, Rafizi menegaskan, tindakan membuat laporan polis tidak akan terhenti setakat itu sahaja, sebaliknya akan terus diambil setiap kali bekas Perdana Menteri itu menyatakan pembohongan.

“Setiap kali Najib berbohong jangan duduk diam, kita akan buat laporan polis demi laporan polis. Dia sembang kencang sebab dia tahu orang tak lawan.

“Lepas ini, Najib akan jawab semua (laporan) macam dia jawab dalam ‘court’ (mahkamah) iaitu ‘saya tak tahu’ sahaja,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here