Usaha memperbaiki capaian internet di sekolah dipertingkatkan – Annuar Musa

0
1

KEMENTERIAN Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKOMM) sedang melipatgandakan usaha untuk memperbaiki capaian dan mutu perkhidmatan internet khususnya ke luar bandar, tegas Menterinya Tan Sri Annuar Musa.

Menurutnya, KKOMM merasakan isu bekalan khidmat jalur lebar di sekolah amat penting dan perlu diberi keutamaan.

Beliau dalam satu kenyataan semalam memaklumkan sebanyak 1,000 sekolah dijangka akan menerima perkhidmatan 5G pada akhir tahun ini, namun ia bergantung kepada kelulusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Saya merujuk pada berita 1,000 sekolah terima 5G akhir tahun ini. Saya perlu buat penjelasan utk elak kekeliruan. Semua sekolah adalah di bawah pentadbiran KPM yang mempunyai kata putus hal ehwal sekolah.

“Cuma dari segi KKOMM saya merasakan isu bekalan khidmat jalur lebar di sekolah amat penting dan perlu di beri keutamaan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Menurutnya, di bawah program POP (point of presence), KKOMM sedang memasang gentian optik yang sampai ke 4,000 sekolah iaitu sehingga ke depan sekolah.

“Namun ‘last miles’ dalam kawasan sekolah adalah di bawah KPM,” katanya.

Beliau berkata, KKOMM telah meminta Telekom Malaysia (TM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Digital Nasional Berhad (DNB) mengambil inisiatif dan membuat projek perintis dan bukti konsep (POC) pemasangan 5G ke sekolah.

“Lima sekolah dipilih untuk pelaksanaan POC. Namun terdapat beberapa isu yang DNB dan SKMM perlu merujuk kepada KPM,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here