MESKIPUN sering dikritik oleh Rafizi Ramli, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sangat mengalu-alukan kehadirannya dalam saf kepimpinan parti itu sebagai Timbalan Presiden.
Malah Anwar menyifatkan kehadirian Rafizi umpama memberikan ‘Panadol’ kepadanya dalam mengemudi PKR.
Anwar berkata, beliau sangat mengenali bekas ahli Parlimen Pandan itu dan tahu kebolehannya.
“Rafizi bagi Panadol hilang pening saya. Lama saya kenal Rafizi.
“Saya faham ada persaingan sengit, tapi ini (Rafizi) bukan orang khianat, bukan kaki fitnah, bukan perompak dan perasuah.
“Tumpukan pada itu. Ini menyebabkan saya berasa lega dan bersyukur bahawa kita ada barisan kepimpinan (yang boleh bekerja),” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional ke-16 PKR di Shah Alam, hari ini.
Semalam, Rafizi mengingatkan kepimpinan baru parti itu tidak perlu membodek atau mempertahankan Anwar apabila presiden parti itu dikritik.
Menurut Timbalan Presiden PKR itu, tiada sesiapa perlu mempertahankan Anwar daripada sebarang kritikan kerana peranan penting PKR adalah untuk menarik semula sokongan rakyat terhadap parti itu.
“Kalau saya menjadi Anwar Ibrahim, saya rasa kita perlu terima factual finding (hakikat sebenar) kerana jika kita tidak melakukan apa-apa, ia (situasi sedia ada) akan diterjemahkan kepada keputusan pilihan raya, (di mana) hakikatnya dia telah hilang populariti.
“Apa yang penting untuk parti dan kepimpinan baru adalah bukannya cuba membodek Anwar ke, pertahankan Anwar ke…,” katanya.
Sementara itu, Anwar mengimbau sejarah 2018 apabila PKR berjaya menumbangkan Barisan Nasional (BN), namun reformasi mereka terbatas kerana tidak lagi memimpin kerajaan.
Beliau berkata, menerusi keyakinan dengan sokongan rakan komponen Pakatan Harapan (PH), pembangkang mampu menumbangkan Umno sekali lagi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.
“Saya cukup yakin, dengan bantuan rakan di PH, kita akan tumbangkan Umno. PRU-15 ini akan menjadi sejarah betul-betul.
“2018 menjadi sejarah, tetapi reformasi kita sudah terbatas. Saya bertemu perdana menteri ketika itu dan semua dia janji semua dia terima. Sekarang, saya janji bahawa semua akan buat (jika jadi perdana menteri),” katanya. -Malaysiapost

