DATUK Seri Najib Razak sekali lagi menyelar Pengerusi Pakatan Haran (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilihat berterusan menegaskan mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen untuk menjadi Perdana Menteri.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata, Anwar mendakwa mempunyai sokongan majoriti dan akan menjadi Perdana Menteri sekarang, jika bersetuju dengan permintaan pemimpin korup untuk campur tangan dalam kes mahkamah mereka.
Menurutnya, apa yang didakwa Presiden PKR dan juga Ahli Parlimen Port Dickson itu adalah tidak masuk akal.
“Anwar kata dia sudah jadi PM (perdana Menteri) dengan sokongan majoriti sekiranya bersuhabat dengan perasuah. Pada masa yang sama, Anwar juga kata parti dia PKR kurang dapat sokongan Melayu.
“Bermaksud mereka bergantung kepada parti DAP untuk undi bukan Melayu. Bermaksud dia dan parti dia bergantung nasib pada ‘perasuah terowong’.
“Sebab itu Anwar tak pernah bunyi tentang pendedahan atas pendedahan kes mahkamah ‘terowong’,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Najib berkata, Anwar kata tidak cukup sokongan majoriti kerana beliau menolak sokongan perasuah, namun dalam masa sama mengatakan mempunyai sokongan majoriti yang padu dan menyakinkan.
“Boleh pula dia naik kereta Jaguar menghadap Istana untuk mempersembahkan bahawa dia ada sokongan majoriti masa itu?
Apa? Cubaan menipu Istana masa itu ke? Nama siapa yang sokong pun dia tak mampu beri.
“Sendiri kata tak cukup sokongan majoriti sebab tolak bersuhabat dengan perasuah tapi boleh pula menghadap Istana untuk claim bahawa dia ada sokongan majoriti yang cukup?” soalnya. – Malaysiapost

