Tiada diskaun 50 peratus saman JPJ – PDRM

0
2
Polis Di Raja Malaysia

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menafikan mesej tular berhubung iklan mempromosikan tawaran 50 peratus diskaun saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Setiausaha Polis Malaysia Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, berkata iklan tersebut dikesan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) PDRM melalui aplikasi Whatsapp.

Menurutnya, iklan tersebut memaparkan nilai kadar saman dan jumlah bayaran diskaun serta tawaran sehingga 20 Julai 2022.

“Iklan itu juga meminta orang ramai yang berminat boleh berhubung dengan individu melalui nombor telefon yang disertakan sekiranya ingin berurusan lanjut.

“Justeru, PDRM mengesahkan iklan promosi tawaran saman tersebut adalah palsu dan sedang menjalankan siasatan ke atas individu yang bertanggungjawab dalam menyebarkan berita dan iklan palsu berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Noorsiah meminta orang ramai yang menerima iklan promosi tersebut, untuk tidak terpengaruh atau berhubung dengan penama yang dinyatakan.

“Masyarakat juga dinasihatkan agar menyemak terlebih dahulu kesahihan sebarang berita terutamanya mengenai tawaran pengurangan saman melalui saluran media rasmi PDRM bagi mengelak menjadi mangsa penipuan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here