PKR digesa mengkaji semula sistem pemilihan parti itu yang dilihat menimbulkan banyak kelemahan ketika ini.
Perkara itu disaran wakil Angkatan Muda Keadilan (AMK) Mohd Hafiz Mohamed yang berkata, PKR sebagai parti yang besar jelas menghadapi kesukaran kepada sistem pemilihan satu ahli satu undi yang dipraktikan ketika ini.
“Ada dua perkara penting untuk direkodkan dan dibawa ke mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang akan datang untuk barisan kepimpinan yang baru. Yang pertama kita minta kaedah sistem pemilihan parti pada kali ini dikaji semula. Kalau perlu ditambah baik, kita tambah baik, kalau perlu ‘post mortem’, kita ‘post mortem’.
“Kalau perlu untuk kita pinda perlembangaan, kita pinda perlembagaan. Semakin besar semangat PKR semakin bertambah keahlian, semakin sukar untuk kita menguruskan pemilihan dalam keadaan satu ahli satu undi.
“Maka pendekatan yang lebih efisyen perlu kita pertimbangkan,” katanya ketika membahas ucapan dasar presiden pada Kongres Nasional PKR di Shah Alam, hari ini.
Sementara itu, perwakilan Perak menggesa pucuk pimpinan PKR mengambil tindakan terhadap anggota parti itu yang melanggar disiplin parti apabila membuat laporan polis dan juga Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) selepas tewas dalam pemilihan baru-baru ini.
Ng Shy Ching berkata, pertikaian di luar saluran parti akan mendedahkan parti kepada risiko luar kawalan dan ia merugikan.
“Saya juga menyeru agar pimpinan parti mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang telah melanggar disiplin parti kerana membuat laporan polis dan aduan ROS selepas kalah dalam pemilihan.
“Hal ini penting untuk memastikan disiplin parti sentiasa terpelihara. Jangan sesekali kita terkeliru di antara ruang demokrasi dan juga disiplin sebagai seorang anggota parti,” katanya ketika membahas ucapan dasar presiden.
Menurutnya, ucapan Penasihat PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail semalam ketika Kongres Wanita telah menyentuh hati dan wajib direnungi oleh seluruh pimpinan dan anggota PKR.
Katanya, PKR tidak memerlukan anggota yang menjadi musuh dalam selimut ataupun api dalam sekam. -Malaysiapost

