Harga minyak masak turun 5 hingga 10 peratus dua minggu lagi

0
1
Minyak-minyak masak yang dijual dalam bentuk botol dan paket ketika tinjauan Malaysiapost hari ini.

PENGERUSI Pasukan Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa menjangkakan harga minyak masak tidak bersubsidi turun antara 5 hingga 10 peratus dalam tempoh dua minggu lagi. 

Beliau berkata, pihaknya telah memanggil semua pengilang yang terlibat termasuk Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Majlis Minyak Masak Sawit Malaysia (MPOC) pada Selasa lepas sebagai badan yang mengawal kuota dan lesen pengilang.

“Selepas dua minggu dari tarikh saya bertemu mereka, saya mahu tengok harga minyak turun.

“Saya tidaklah memaksa, cuma pada masa ini saya mahu industri ada rasa tanggungjawab dan jangan biarkan kerajaan terkial-kial dengan masalah sebab akhirnya syarikat juga yang menentukannya,” katanya kepada media selepas mengadakan tinjauan harga barangan di Pasar Ketereh, hari ini.

Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, pihak industri telah bersetuju untuk menurunkan harga minyak masak dan pengilang yang terbabit membayangkan penurunan harga itu akan dipendekkan secara berperingkat iaitu lima hingga 10 peratus.

Annuar juga menjelaskan, inflasi yang sedang dihadapi kini adalah inflasi yang sudah diduga kerana ia berlaku secara global.

Menurutnya, pasca Covid-19 membolehkan aktiviti sudah berjalan semula namun berlaku peningkatan permintaan pelbagai industri sedangkan pengeluaran tidak pulih sepenuhnya.

“Selain itu, peperangan di luar negara menjejaskan perdagangan dan inflasi tersebut berlaku bergantung kepada dasar-dasar kewangan serta monetari polisi negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here