KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta kerajaan meneliti semula beberapa perkara dalam melaksanakan potongan perbelanjaan kepada perkhidmatan awam.
Presidennya, Datuk Adnan Mat, berkata cadangan tersebut perlu diambil kira memandangkan perkara itu boleh mengakibatkan ‘gangguan’ kepada sistem penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat.
“Adalah tidak wajar jika kerajaan memotong perbelanjaan sehingga mengakibatkan sistem penyampaian perkhidmatan awam terjejas.
“Pada akhirnya perkhidmatan awam akan dihakimi oleh rakyat sebagai gagal kerana tidak mampu memberi perkhidmatan yang terbaik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Adnan berkata, perkara berkenaan termasuklah hal-hal yang melibatkan perjawatan.
“Terdapat banyak kekosongan perjawatan yang tidak diisi ketika ini dan jika ia diperketatkan, CUEPACS bimbang banyak jabatan akan terjejas terutama sektor penting seperti kesihatan, keselamatan atau perkhidmatan langsung kepada rakyat.
“CUEPACS tidak boleh bertolak ansur sekiranya penjimatan atau potongan perbelanjaan itu melibatkan perkara penting atau memberi kesan kepada sistem penyampaian perkhidmatan awam,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, perkara-perkara lain yang disentuh oleh garis panduan tersebut adalah wajar dan perlu diambil tindakan oleh semua warga perkhidmatan awam terutama ketua jabatan.
“CUEPACS juga berharap pelaksanaan garis panduan ini juga tidak menjejaskan pelaksanaan segala inisiatif kepada penjawat awam yang diumumkan dalam Bajet 2022,” katanya.
Sebelum ini, kerajaan mengeluarkan garis panduan penjimatan perbelanjaan awam seiring mengoptimumkan perbelanjaan kerajaan.
Dokumen sembilan halaman dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan, Datuk Seri Asri Hamidon bertarikh 14 Julai 2022 di laman web kementerian berkenaan. – Malaysiapost

