Malaysia perlu agresif untuk peduli Uyghur

0
1

Datuk Fadzlette Othman Merican

PERJUANGAN masyarakat Uyghur untuk autonomi di Xinjiang dan penindasan mereka oleh China mendapat perhatian media antarabangsa.

Pada 9 Disember 2021, Sir Geoffrey Nice menyampaikan penghakiman Tribunal Uyghur. Bukti yang jelas telah mengesahkan bahawa penindasan etnik minoriti Uyghur sememangnya berlaku dan tindakan segera perlu dilakukan untuk pembelaan terhadap mereka yang terlibat.

Berikutan realiti jelas serta pakar perundangan antarabangsa tidak bercanggah dengan Tribunal Tersebut, ‘Forum Kemanusiaan: Peduli Uyghur’ telah dilancarkan pada 7 Julai lalu.

Malaysia melalui NGO dan penglibatan beberapa pemimpin politik telah mengambil inisiatif untuk menyebarkan kesedaran awam berkenaan perjuangan masyarakat Uyghur.

Malaysia Sentiasa Lantang untuk Perjuangan Hak Asasi

Malaysia mempunyai rekod memperjuangkan isu keadilan sejagat yang baik. Misalnya menentang Dasar Apartheid oleh Tunku Abdul Rahman sehingga jatuhnya rejim Apartheid.

Begitu juga dalam isu Palestin, kerajaan Malaysia tegas mempertahankannya. Kita juga pernah menjuarai isu Bosnia Herzegovina. Walaupun Malaysia negara kecil tetapi kita mampu membawa isu kemanusiaan ini hingga ke peringkat antarabangsa.

Isu penindasan dan kemanusiaan (Uyghur) yang kita perjuangkan ini bukanlah satu propaganda dari Barat atau Timur, tetapi ia dari saluran pertubuhan hak asasi manusia yang sah.

Hak Asasi Kemanusiaan etnik minoriti muslim di sana telah dicabul. Pegawai kerajaan mula-mula menafikan kewujudan kem itu. Bermula pada Oktober 2018, para pegawai mula memanggil mereka sebagai pusat untuk “program pendidikan dan latihan vokasional.”

Pada Mac 2019, nama rasmi mereka menjadi “pusat latihan vokasional.” Pada akhir tahun itu, gabenor Xinjiang, Shohrat Zakir, berkata bahawa semua tahanan telah “lulus” dan satu-satunya orang yang masih ditempatkan di kem-kem itu berada di sana secara sukarela. Tetapi China terus membina dan mengembangkan tapak tahanan.

Laporan Tribunal Uyghur juga mengepilkan bukti-bukti penindasan yang dilakukan rejim komunis termasuklah keganasan fizikal, siksaan, rogol dan keganasan seksual, paksaan gugur untuk wanita mengandung (penstrukturan populasi), dan penentangan kepada amalan serta aset keagamaan.

Sejarah Tekanan China

Institut Dasar Strategik Australia menganggarkan bahawa, sejak 2017, 80000 rakyat Uyghur yang ditahan sebelum ini telah dihantar ke kilang di seluruh China yang dikaitkan dengan lapan puluh tiga jenama global.

Penyelidik dari Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa berkata buruh paksa merupakan elemen penting dalam rancangan kerajaan untuk pembangunan ekonomi Xinjiang, termasuk menjadikannya hab pembuatan tekstil dan pakaian. Pegawai China menyifatkan dasar itu sebagai “pembasmian kemiskinan.”

Pegawai China secara terbuka berpendapat bahawa kem itu mempunyai tujuan: untuk mengelakkan rakyat daripada terpengaruh dengan idea ekstremis, untuk “memangkin aktiviti pengganas,”.

Laporan kerajaan ‘menunjukkan’ bahawa Xinjiang tidak mengalami serangan pengganas sejak Disember 2016.

Beijing telah menentang tekanan antarabangsa untuk membenarkan penyiasat asing melawat wilayah itu secara bebas, dengan mengatakan bahawa apa-apa yang berlaku di dalam Xinjiang adalah isu dalaman.

Bagaimanapun, negara-negara majoriti Islam dilihat pasif dalam menyuarakan tentangan kepada penindasan yang berlaku di sana. Menyedihkan apabila Organisasi Kerjasama Negara-negara Islam (OIC) terlihat bisu dalam memperjuang hak saudara seagama di Xinjiang.

Mac lalu di dalam persidangan OIC; beberapa wilayah Islam dikenalpasti berada dalam krisis kemanusiaan seperti di Kashmir, Palestin, Somalia, Yaman tetapi malangnya Xinjiang terlihat dikecualikan.

Ternyata masyarakat Islam ditindas di sana apabila pengimejan satelit telah mengenal pasti kemusnahan, atau kerosakan kepada, kira-kira 16,000 masjid atau 65% daripada jumlah sebelumnya di rantau tersebut.

Bukti juga dipadankan dengan pemerhatian langsung saksi. Selain itu, tanah perkuburan dan tapak lain yang mempunyai kepentingan agama telah dimusnahkan.

Masyarakat Uyghur dipenjara dan disiksa kerana menunjukkan kepatuhan agama termasuk ke masjid, solat, bertudung dan berjanggut dan tidak minum alkohol atau tidak makan daging babi.

Mekanisma Cadangan

Forum Peduli Uyghur telah mengetengahkan isu ini kepada perhatian awam termasuk NGO dan Ahli Politik. Ia perlu dibincangkan ke tahap yang lebih tinggi supaya lebih banyak kerajaan boleh terlibat dan menggesa pendamaian berlaku di Xinjiang.

Pertama, sebuah Caucus Khas di Parlimen perlu ditubuhkan memandangkan isu kemanusiaan sentiasa berlaku di seluruh pelosok dunia, tidak terhad kepada Krisis Kemanusiaan di Xinjiang.

Kaedah ini dapat menyegerakan gesaan politik agar Malaysia sentiasa pantas untuk menyalurkan bantahan dan gesaan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu selain menunggu aktivis awam.

Inkuiri Khas melalui Parlimen ini juga adalah saluran yang berkesan untuk pembanterasan Islamophobia memandangkan Malaysia merupakan negara majoriti Islam.

Kedua, penilaian dan tapisan perlu dilakukan kepada aliran ekonomi. Tatkala kita bergantung kepada hubungan dagang China, tekanan ekonomi perlu dilakukan kepada produk tempatan di Xinjiang yang menggunakan buruh paksa dan buruh kanak-kanak masyarakat muslim yang melibatkan 81 jenama global merentas syarikat-syarikat multinasional.

Ini dapat meningkatkan kesedaran masyarakat dan industri bahawa negara ini cakna dan tidak bertoleransi dengan sebarang bentuk jenayah kemanusiaan.

Ketiga, campur tangan PBB adalah perlu sehingga tahap bantuan kemanusiaan terutamanya Pendidikan untuk kanak-kanak boleh disampaikan di wilayah tersebut seperti krisis yang berlaku di wilayah mundur sosial yang lain.

Penindasan pengetahuan adalah hak asasi terbesar yang perlu dibanteras ketika seluruh dunia telah membuka mata dengan kecanggihan ilmu moden, keciciran akan terus membenarkan kekejaman terus berlaku.

Malaysia sedang berada di landasan yang cemerlang. Tindakan susulan perlu terus diambil, sekurang-kurangnya untuk kita bangunkan semula OIC yang terlelap, demi memastikan pembelaan terus diberikan kepada sebarang bentuk penindasan yang berlaku kepada mana-mana kumpulan manusia sekalipun.

(Penulis merupakan Penganalisis Geopolitik)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here