BEKAS pemimpin PKR, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard menasihati Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap benar dan tidak menipu ahli parti itu.
Chegubard yang kini Pemimpin Bersatu Johor berkata, beliau mahu Presiden PKR itu menceritakan perkara sebenar berhubung gerakan menjadikan beliau Perdana Menteri hasil kerjasama dengan pemimpin Umno ‘Kluster Mahkamah’ sebelum ini.
“Hari ini Anwar kata kononnya beliau akan menjadi Perdana Menteri sekarang, jika bersetuju dengan permintaan pemimpin korup untuk campur tangan dalam kes mahkamah mereka.
“Kepada Anwar Ibrahim cubalah dah usia lanjut ni belajar bercakap benar. Anwar jelas menipu apa yang terjadi ialah (Datuk Seri Dr) Zahid (Hamidi), (Datuk Seri) Najib (Razak) dan lain lain penyokong kluster mahkamah sudah pun memberikan sokongan malah ada segelintir sudahpun tandatangan akuan bersumpah (SD).
“Ada yang tetipu dengan muslihat Zahid dan Najib yang dijanjikan Anwar gugur kes mereka. Najib dan Zahid sudah pun menulis surat ke Istana menipu YDPA kononya semua ahli parlimen Umno sokong Anwar jadi Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.
Chegubard berkata demikian sebagai maklum balas ucapan Anwar pada Kongres Nasional PKR di Shah Alam Hari ini yang mendakwa beliau masih gagal menjadi Perdana Menteri kerana dihalang pemimpin korup yang tidak menyokongnya.
Menjelaskan mengenainya, Chegubard berkata, Anwar bukannya tidak mendapat sokongan daripada kluster mahkamah yang diketuai Ahmad Zahid dan Najib, tetapi digagalkan menerusi gerakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Namun Anwar tak berjaya sebab perjanjian Ismail Sabri, Muhyiddin yang menjadikan Ismail Sabri PM dan Umno akan dapat banyak kelebihan telah menyebabkan ramai MP Umno yang terpedaya dengan Zahid dan Najib u-turn tarik surat akuan sokong Anwar.
“Saat akhir Zahid-Najib cuba alih konon sokong Ku Li namun malangnya gabungan Ismail Sabri dan Muhyiddin dengan dibantu Tan Sri Annuar Musa, (Datuk Seri) Takiyuddin Hassan dan (Datuk Seri) Hamzah Zainudin lebih bijak.
“(Mereka) lebih cepat bertindak selamatkan negara dari pihak pihak yang ingin mendapatkan tempat semata mata kerana kepentingan diri,” katanya. – Malaysiapost

