KEPIMPINAN baharu dan ahli PKR diingatkan agar tidak terlalu membodek atau mempertahankan Presidennya Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam setiap perkara, kata Rafizi Ramli.
Rafizi yang juga Timbalan Presiden PKR mendakwa, masalah timbul apabila terdapat kelompok di sekeliling Anwar yang sering merasakan mereka perlu membela pemimpin berkenaan sehingga tidak boleh ada fakta yang dilihat menyentuh atau mengkritik presiden parti itu.
“Apa yang penting adalah parti dan kepimpinan baharu tidak terlalu berusaha membodek Anwar atau pertahankannya.
“Anwar is Anwar… dia tidak perlu dipertahankan. Saya tidak akan memainkan peranan itu (membodek),” katanya seperti dilapor Bernama.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas ucapan dasar Anwar di Kongres Nasional PKR 2022, hari ini.
Sementara itu, Rafizi berkata, PKR dan Pakatan Harapan (PH) perlu menimbangkan dua perkara penting sebelum memutuskan untuk menjalinkan kerjasama dengan parti pembangkang lain atau membentuk ‘khemah besar’ pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Katanya, PKR perlu menimbangkan sentimen ahli parti serta penyokong PH mengenai idea ‘khemah besar’ dan keduanya meneliti kesan negatif sekiranya terdapat parti lain bekerjasama dengan gabungan itu. – Malaysiapost

