UMMAH cabar Ramasamy debat terbuka mengenai Mat Kilau

0
3

GERAKAN Pembela Ummah (UMMAH) mencabar pemimpin DAP, P Ramasamy berdebat secara terbuka mengenai dakwaannya bahawa tokoh pahlawan Melayu Mat Kilau bukan seorang nasionalis sebaliknya hanya pemimpin petani.

Pengerusi UMMAH, Mohd Zai Mustafa, berkata perdebatan itu perlu dibuat setelah pihaknya meneliti kenyataan Ramasamy menerusi portal MalaysiaGazatte Selasa lalu, yang disifatkan berat sebelah.

“Ulasan Ramasamy jelas bersifat sangkaan semata-mata dan berat sebelah tanpa merujuk mana-mana fakta sejarah secara ilmiah.

“Mungkin juga pandangan beliau didorong dan dipengaruhi oleh ideologi politik bawaan DAP yang bersifat rasis, liberal, anti-Islam dan Melayu.

“Pandangan beliau juga berkemungkinan daripada pengajian beliau yang melalui sistem pendidikan vernakular yang tidak mendalami sejarah Tanah Melayu sehingga gagal memahami sejarah sebenar mengenai perjuangan pahlawan Melayu mempertahan tanah air,” katanya menerusi Facebook.

Sehubungan itu, Mohd Zai meminta Ramasamy untuk sedar diri sebelum melontarkan pendapat.

“Beliau seharusnya sedar diri kerana merupakan berasal dari keturunan kaum pendatang dari India dan Asia Selatan yang dibawa oleh Inggeris ke Tanah Melayu sebagai pekerja penoreh getah di ladang-ladang yang dikuasai Inggeris.

“Sedangkan sejarah Mat Kilau sebagai pejuang dan pahlawan Melayu yang mempertahankan agama, bangsa dan tanah air telah ditulis dalam pelbagai bentuk jurnal dan buku ilmiah. Sebagai contoh, jurnal yang ditulis oleh seorang pensyarah kanan UPSI iaitu Prof Madya Dr Talib Samat.

“Jadi, persoalannya siapakah ketua petani? Mat Kilau atau leluhur P Ramasamy? Hanya fakta sejarah sahaja yang telah membuktikan,” katanya.

Tegasnya, ianya telah tertulis dengan tinta emas sejarah bahawa Mat Kilau ialah pejuang bangsanya, agama dan tanah airnya.

“Justeru, UMMAH bersedia menawarkan pentas debat terbuka kepada Ramasamy bagi membuktikan fakta-fakta dakwaannya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here