KERAJAAN Pahang sedang menyiapkan Pelan Induk Pelaksanaan Alam Sekitar yang akan dilancarkan tidak lama lagi.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin, berkata pelan itu adalah antara usaha berterusan kerajaan Pahang dalam melestarikan sumber alam semula jadi yang terdapat di negeri itu.
“Menjaga alam sekitar ini macam jaga nyawa kita jugalah, sebab itu kita (kerajaan Pahang) bersungguh-sungguh menjaga alam sekitar di Pahang.
“Komitmen ini sudah kita buktikan, dan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail secara konsisten memaklumkan bahawa 57 peratus kawasan hutan simpan di Pahang akan terus dikekalkan,” katanya ketika berucap merasmikan Malam Alam Sekitar di pekan Sungai Lembing, dekat Kuantan, Pahang, malam tadi.
Turut hadir ahli Parlimen Paya Besar, Mohd Shahar Abdullah yang juga Timbalan Menteri Kewangan I.
Dalam pada itu, Mohd Shahar ketika berucap memaklumkan wakil dari 16 negara, antaranya dari Korea Selatan, Jerman, Jepun dan Thailand dijadualkan menyertai program Dialog Paya Besar 2022 pada Ahad ini.
Katanya, kedatangan rombongan dari luar negara ke pekan Sungai Lembing itu adalah bagi melihat sendiri usaha dilakukan untuk memelihara dan memulihara kawasan terbabit.
“Sudah tentu mereka akan turut menyertai dialog dianjurkan dan kita akan berbincang mengenai kaedah atau pendekatan boleh diambil untuk memastikan hasrat menjadikan pekan Sungai Lembing sebagai sebuah pekan yang lestari menjelang 2030, menjadi kenyataan,” katanya.
Mohd Shahar berkata, setakat ini kerajaan memperuntukkan RM5 juta untuk membangunkan pekan Sungai Lembing, merangkumi pemuliharaan semula kilang memperoses bijih timah, menghidupkan semula panggung wayang dan memulihara elemen sejarah yang terdapat di situ. – Malaysiapost

