DAP gesa SPRM siasat Ismail Sabri, Takiyuddin

0
3

DAP menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berhubung isu pelantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Pengerusi DAP Lim Guan Eng, berkata siasatan itu perlu dilakukan bagi menyemak sama ada Ismail Sabri dan Takiyuddin telah menyalahgunakan kuasa jawatan mereka untuk kepentingan politik peribadi dalam merangka perjanjian melantik timbalan Perdana Menteri daripada Bersatu.

“DAP juga mengecam sikap tidak bertanggungjawab pemimpin kerajaan sekarang yang menganggap kedudukan kerajaan mereka sebagai hak milik persendirian untuk disalahgunakan demi kepentingan politik yang sempit dan pihak tertentu,” katanya menerusi Facebook.

Guan Eng berkata, ia terbukti dengan pelantikan ahli politik dan Ahli Parlimen kerajaan yang tidak mempunyai kecekapan profesional atau kepakaran teknikal ke jawatan lembaga pengarah atau pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“(Termasuk) yang mengawal berpuluh bilion ringgit aset awam tetapi juga pelantikan ahli politik Umno sebagai Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Jadi, adakah SPRM akan bertindak secara bebas untuk menyiasat Perdana Menteri dan Takiyuddin atau membuktikan sekali lagi bahawa mereka adalah alat politik semata-mata yang digunakan untuk kepentingan kerajaan sekarang,” katanya.

Pada 12 Julai lalu, media melaporkan, Takiyuddin mengesahkan bahawa beliau terlibat dalam penyediaan draf Memorandum Perjanjian (MOA) berkaitan jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Menurutnya, beliau menyediakan draf perjanjian tersebut atas kapasiti sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) ketika itu.

Beliau turut mengakui di dalam MOA berkenaan, ada disebut jawatan Timbalan Perdana Menteri tetapi hanya jika perlu dilantik.

Jelasnya, semua perjanjian perlu mematuhi perlembagaan negara. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here