Bot karam: Seorang selamat, 4 nelayan Indonesia hilang

0
2

EMPAT nelayan Indonesia hilang manakala seorang berjaya diselamatkan nelayan tempatan selepas bot dinaiki mereka dipercayai karam kira-kira jam 7 pagi semalam.

Susulan itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang melalui Maritim Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) lewat petang semalam bagi mengesan mereka.

Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kapten Maritim Abd Razak Mohamed, berkata pihaknya menerima laporan sekitar 12.25 tengah hari daripada pemilik bot nelayan tempatan yang memaklumkan menemui lelaki terapung di kedudukan lebih kurang 7.5 batu nautika barat Sungai Kongsi, Balik Pulau.

“Sebaik menerima maklumat tersebut, bot KILAT 26 Maritim Malaysia diatur gerak ke lokasi untuk mengambil mangsa tersebut di perairan Gertak Sanggul seterusnya melakukan pencarian awal bagi mengesan baki rakan mangsa yang masih hilang.

“Hasil pemeriksaan dan temubual awal yang dilakukan ke atas mangsa yang terselamat, Aswin, 43, warga Indonesia memaklumkan dia dan rakan berumur lingkungan 30 hingga 55 tahun telah keluar ke laut dari Tanjung Balai Asahan, Indonesia untuk menangkap ikan.

“Mereka telah berada di laut hampir lima hari sebelum bot mereka bocor dan karam sebelum belayar pulang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abd Razak berkata, pemeriksaan juga mendapati mangsa tiada mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

“Menurut mangsa, dia dan rakan sempat memakai jaket keselamatan sebelum masing-masing hanyut terpisah antara satu sama lain dalam keadaan laut yang bergelora dan angin kencang.

“Mangsa berada di dalam keadaan baik dan sihat ketika temubual dijalankan,” katanya.

Beliau berkata, usaha pencarian hari kedua sedang giat dilakukan dengan keluasan 42 batu nautika persegi.

“Ianya (pencarian) membabitkan aset Maritim Malaysia memandangkan lokasi bot yang disyaki karam tidak dapat dikenalpasti dan dipercayai berada di tengah laut.

“Justeru, orang awam yang mempunyai maklumat diminta segera menghubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian (04-2626146) atau talian kecemasan MERS 999,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here